PETALING JAYA – Perubahan landskap politik di Sarawak yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat berkemungkinan menyaksikan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan serentak pada Mac depan.
Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingan yang bakal berlaku selepas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan perletakan jawatan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.
Ketua Menteri Sarawak itu dijadual membuat pengumuman penting itu pada Isnin.
Suruhanyajaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 23 Mac depan sebagai hari pembuangan undi bagi PRK DUN Kajang manakala proses penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
Ini bermakna SPR mempunyai tempoh selama sebulan untuk membuat pesediaan bagi PRK DUN Kajang.
Justeru jika Abdul Taib mengisytiharkan untuk mengosongkan kerusi DUN Balingan yang disandangnya sejak 2001 hari ini (Isnin), SPR mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan persediaan bagi melaksanakan kedua-dua PRK itu serentak.
Berdasarkan undang-undang tubuh negeri Sarawak, sebarang kekosongan kerusi DUN sebelum 20 Jun tahun ini perlu diisi menerusi PRK.
Untuk rekod SPR sebelum ini pernah mengadakan beberapa PRK serentak pada penggal Parlimen ke-12 iaitu PRK Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan DUN Batang Ai (Sarawak) pada 7 April 2009.
Pada 4 Novemver 2010 turut menyaksikan dua PRK diadakan secara bersama iaitu di DUN Galas (Kelantan) dan Parlimen Batu Sapi di Sabah.
Selain itu satu lagi PRK serentak berlaku pada 6 Mac 2011 membabitkan DUN Merlimau di Melaka dan DUN Kerdau di Pahang. – Mstar.com.my