Terkini - Sultan Brunei Umum Hukum Hudud Dilaksana Hari Ini

Sultan Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN – Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam mengumumkan bahawa negaranya akan melaksanakan hukum hudud bermula pada hari ini.
“Dengan penuh keyakinan dan kesyukuran kepada Allah Maha Besar, saya mengumumkan esok (hari ini) undang-undang syariah fasa pertama akan dikuatkuasakan dan ia akan diikuti dengan fasa-fasa seterusnya,” kata baginda dalam satu dekri diraja semalam.
Fasa pertama dan kedua akan bermula pada tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan.
Pada fasa pertama, hukuman penjara dan denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri solat Jumaat dan hamil di luar nikah.
Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan.
Ekoran pengumuman tersebut, Brunei yang kaya dengan minyak akan menjadi negara pertama di Timur Asia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan hukuman hudud.
Brunei menyertai kebanyakan negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq yang turut menguatkuasakan hukuman itu.
Antara hukuman itu ialah tangan pencuri akan dipotong.
Kerajaan Brunei sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukum hudud selepas dikritik beberapa badan hak asasi antarabangsa.
Bagaimanapun, pemerintah berusia 67 tahun itu memutuskan untuk meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan menolak dakwaan bahawa undang-undang itu sebagai tidak adil.
“Ada pihak menuduh undang-undang Allah ini kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri berfirman bahawa undang-undang itu adalah adil,” ujar baginda lagi di sebuah pusat konvensyen di sini.
Pemerintah Brunei itu merupakan antara orang terkaya di dunia dan kekayaannya pernah dianggarkan majalah Forbes berjumlah AS$20 bilion (RM65.28 bilion) pada tiga tahun lalu.
Sultan Hassanal Bolkiah juga dilaporkan mempunyai banyak koleksi kereta mewah dan istana yang dihiasi emas.
Baginda sebelum ini berselisihan faham dengan adiknya, Putera Jefri Bolkiah yang didakwa menggelapkan wang berjumlah AS$15 bilion (RM 48.98 bilion) ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Brunei mempunyai kira-kira 400,000 orang penduduk dengan 70 peratus daripadanya merupakan penganut Islam. – Agensi

Wajid Diketahui - Brunei Haram 19 Perkataan Untuk Bukan Islam

Brunei,
BANDAR SERI BEGAWAN – BRUNEI. Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu.
Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah.
Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali.
Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam.
“Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan atau kesaksian empat saksi,” katanya.
Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun.
“Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya. – Sinar Harian Online

Semasa - Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Leong Peng disahkan meninggal dunia

Seah Leong Peng


IPOH – Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Leong Peng disahkan meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Berita kematian Leong Peng disahkan sendiri oleh Setiausaha DAP Negeri Perak, Wong Kah Woh ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.
“Ya, memang kita ada terima berita kematian itu. Maklumat yang kita terima dia meninggal kira-kira jam 7 pagi,” katanya.
Leong Peng menang di kerusi Parlimen Teluk Intan pada PRU13 lalu dengan majoriti 7,313 menewaskan calon BN yang juga Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K Moralingam. – Sinar Harian Online