SABAK BERNAM – Hasrat seorang
pelajar tingkatan satu menziarahi neneknya yang tinggal berhampiran
bertukar detik hitam apabila dia diliwat bapa saudaranya sendiri di
sebuah bilik tingkat atas rumah terbabit, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam,
Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam
5.45 petang itu, remaja lelaki tersebut dipercayai datang ke rumah
neneknya untuk berjumpa wanita berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja
sampai di rumah itu, nenek mangsa tiada di rumah sebaliknya yang ada
hanya suspek dianggarkan berusia 30-an bersama-sama seorang lagi abang
dan kakak iparnya di ruang tamu rumah berkenaan.
“Mangsa sempat duduk di ruang tamu rumah
itu kira-kira lima minit sebelum suspek mula memasang jerat dengan
menyuruh mangsa naik ke biliknya di tingkat atas untuk mengambil
pengecas telefon bimbit,” katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar memberitahu, semasa berada
di dalam bilik itu, mangsa kemudiannya dikejutkan dengan kehadiran
suspek yang masuk ke dalam bilik dan kemudiannya bertindak menutup pintu
dan menolak sofa untuk menyendal pintu dari dalam.
“Suspek yang gagal mengawal nafsunya itu
terus menindih dan membuka seluar mangsa sebelum bertindak memegang
kemaluan walaupun ketika itu mangsa menendang dada suspek dan cuba
melarikan, diri tetapi sempat ditarik oleh suspek dan dicampak ke atas
katil.
“Suspek kemudiannya meniarapkan remaja
itu dan kemudiannya meliwat mangsa sebelum mangsa akhirnya bertindak
ganas dengan menendang suspek hingga menyebabkan bapa saudaranya itu
terjatuh,” katanya.
Katanya, berang dengan tindakan terkutuk
bapa saudaranya itu, mangsa yang sempat memakai seluar terus menuruni
tangga bawah rumah berkenaan.
“Ketika dia menuruni tangga, seorang
lagi bapa saudaranya dan isteri yang berada di ruang tamu rumah
mengesyaki sesuatu apabila melihat mangsa melarikan diri dalam keadaan
tergesa-gesa lalu memaklumkan kepada ibu mangsa.
“Kedua-dua pasangan suami isteri itu
bisu, dan hanya memaklumkan kepada ibu mangsa melalui kiriman mesej
menerusi laman sosial Facebook,” katanya.
Beliau berkata, ibu mangsa terus mencari
anaknya itu dan membawa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Sabak Bernam.
“Pasukan forensik polis juga telah
dipanggil ke tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Klang untuk
pemeriksaan doktor,” katanya. - Sinar Harian Online