Tony Jawab MAHB: Saya Tahu Tentang Muzium, Spa Saya Tak Tahu!

Tony Jawab MAHB: Saya Tahu Tentang Muzium, Spa Saya Tak Tahu!
KUALA LUMPUR –  AirAsia menangguhkan perpindahan operasinya ke KLIA2 bagi memastikan terminal baru itu selamat digunakan sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan kepada laman web The Malaysian Insider.
Bagi menjawab dakwaan Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad yang berkata bahawa syarikat penerbangan tambang murah itu mahukan muzium dan spa, Tony menganggapnya sebagai satu kenyataan “lucu”.
“Saya tahu tentang muzium. Ia adalah bagi memupuk minat kanak-kanak kepada dunia penerbangan. Spa, saya tidak tahu,” tambah Tony.
“Tetapi perkara utama adalah kami mahukan terminal penerbangan tambang rendah baharu yang selamat. Kami hanya mahukan terminal yang murah untuk pengguna dan menepati masa. MAHB telah gagal kedua-duanya.
“Ia mengambil masa dua bulan sebelum kami berpindah ke LCCT. Kami perlukan masa. Sukar untuk saya percaya bahawa sebuah lapangan terbang yang tertangguh pembinaannya sehingga tiga tahun dengan peningkatan kos dari RM2 bilion ke 4 bilion, mempunyai kredibiliti.
“Kami akan keluarkan kenyataan yang jelas. Tidak timbul soalan tentang berpindah, hanya tentang masa dan memastikan ia murah untuk pengguna kerana ia sepatutnya adalah terminal kos rendah, kata beliau.
Sebelum ini Azmi berkata MAHB telah memenuhi hampir kesemua kehendak AirAsia Bhd untuk syarikat itu beroperasi dari terminal penerbangan tambang rendah baharu, KLIA2.
Antara beberapa perkara yang dikehendaki AirAsia dan tidak dipenuhi MAHB ialah spa dan muzium, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Berikutan operasi penerbangan di KLIA2 bermula pada 2 Mei dan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baharu itu.

PM Singapura - Pilih Teh Halia, Keropok Lekor Di Bangsar

PM Singapura pilih teh halia, keropok lekor

KUALA LUMPUR – Teh halia dan keropok lekor menjadi pilihan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching apabila singgah minum petang di sebuah restoran di sini, hari ini.
Lee, yang tiba hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia, singgah di Chawan Cafe di Jalan Telawi 3, restoran yang terkenal dengan sajian tempatan, selepas bersiar-siar di pusat beli-belah Bangsar Village yang terletak berhampiran restoran itu.
Selepas menikmati hidangan teh untuk seketika, beliau dan isteri kembali ke hotel penginapan mereka pada 6.30 petang.
Ketibaan Lee dan isteri di pusat beli-belah itu disambut oleh Ketua Operasi Bangsar Sdn Bhd David Wong.
Pada mulanya, ramai yang tidak sedar kehadiran Perdana MenteriSingapura itu namun, selepas menyedarinya, mereka mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama Lee yang kelihatan mesra dan tidak keberatan memenuhi permintaan mereka.
Terdahulu, Lee yang berpakaian kasual dengan baju kemeja merah jambu dan isterinya meluangkan masa bersiar di kawasan beli-belah Bukit Bintang, dan Pavillion ialah antara gedung yang dikunjungi mereka.
image (1)

Bisnes ‘Menangis’ Waktu Pengkebumian Makin Berkembang Di China

lakon
CHINA – Penduduk di China kini menggunakan pelakon yang diupah bagi menangis pada upacara pengebumian, bagi mengambil alih tugas ahli keluarga yang sibuk untuk menghadiri upacara tersebut.
Dengan bayaran sebanyak £300, tujuh pelakon profesional akan menangis dengan kuat, seperti yang diamalkan dalam ritual pengebumian dan turut menggalakkan orang ramai menyertainya.
Jika tiada tangisan kedengaran, maka ia menunjukkan bahawa si mati tidak disayangi oleh anggota keluarga.
Menurut salah seorang pelakon terbabit, Chen Shuqiang, 35, perniagaan berkenaan semakin berkembang dengan pelakon wanita menjadi pilihan berbanding dengan lelaki.
“Mereka minta kita meraung dan bersedih dengan kematian anggota keluarga mereka.
“Aksi menangis sambil merebahkan badan di hadapan keranda lebih popular, terutama ketika keranda itu akan dibawa pergi untuk pengebumian,’’ katanya.
Pelanggan akan membayar sebanyak £300 untuk pakej asas termasuk tujuh pelakon.
“Saya pernah menjadi penyanyi untuk kumpulan opera namun sukar untuk mendapatkan wang dengan menyanyi. Akhirnya saya menukar kerjaya dan menggunakan suara untuk menangis,’’ kata Chen.

VIDEO: Anak Kurang Ajar Tendang Ibu Dalam Program TV

kick

LUBNAN – Anak kurang ajar. Sanggup menendang ibu sendiri di hadapan penonton yang menyaksikan program yang disiarkan sebuah stesen televisyen yang bermatlamat menyatukan kedua-dua beranak itu.
Kejadian mengejutkan itu berlaku apabila Ahmed, 15, ditemukan dengan ibunya yang sudah tujuh tahun tidak berjumpa, dalam program Bil Akeed.
Ahmed sebelum ini enggan bertemu dengan ibunya, yang telah bercerai dengan bapanya.
 Ketika pengacara cuba mencari jawapan kepada perpisahan berkenaan, wanita itu memberitahu bahawa dia bercerai dengan suaminya kerana lelaki itu kaki pukul.
“Malah dalam mahkamah juga dia menyerang saya, di hadapan hakim,’’ kata wanita tersebut.
Ahmed kemudiannya mula marah dan mempertahankan bapanya.
Keadaan ini menyebabkan ibunya menganggap Ahmed sebagai remaja yang `mabuk’.
Ia menyebabkan Ahmed mengamuk lalu naik ke atas meja dan menendang ibunya. Dia bagaimanapun telah ditarik dengan segera oleh kakitangan produksi.

MH370 - Teknologi Pancar Terus Data Kotak Hitam Ke Bumi Bukan Mustahil

Teknologi Pancar Terus Data Kotak Hitam Ke Bumi Bukan Mustahil
KUALA LUMPUR- Memajukan teknologi baru bagi memudahkan pemancaran berterusan data penerbangan termasuk data kotak hitam langsung ke pusat data di bumi bukan sesuatu yang mustahil, kata beberapa orang pakar hari ini.
Mengambil perhatian bahawa idea itu telahpun dimajukan oleh beberapa penyelidik antarabangsa, Pengarah Pejabat Jaringan Industri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Prof Madya Dr Amir Akramin Shafie berkata idea itu kini hampir menjadi kenyataan.
Malahan, kata beliau, beberapa syarikat penerbangsan kecil telahpun menggunakan sistem dipanggil ‘AMS Blue box Reporting System’ yang secara teknikal berfungsi sama seperti kotak hitam – hanya data dipancarkan secara langsung ke bumi.
“Idea itu kini dibincangkan di kalangan para penyelidik setelah kemalangan pesawat Air France, tetapi oleh kerana wujud beberapa kendalaan, syarikat-syarikat penerbangan belum diwajibkan menggunakan sistem itu,” katanya kepada Bernama di sini.