Dhaka – Pemilik kilang pakaian di
Bangladesh menyerah diri di mahkamah semalam, lebih sebulan selepas
waran penangkapan mereka dikeluarkan berhubung kebakaran industri paling
buruk negara itu yang mengorbankan 111 pekerja.
Delwar Hossain dan isterinya, Mahmuda
Akter, didakwa dan dikenakan waran tangkap Disember lalu berhubung
kebakaran pada 2012 di kilang Tazreen yang menjahit pakaian untuk
peruncit Barat termasuk Walmart.
Pendakwa Anwarul Kabir berkata, pasangan
berkenaan menyerah diri kepada mahkamah majistret di Dhaka dan kini
ditahan sementara menantikan perbicaraan ikat jamin.
Mohon ikat jamin
“Mereka memohon ikat jamin sebaik
menyerah diri. Mahkamah akan mengadakan perbicaraan berhubung perkara
itu lewat hari ini,” kata Kabir.
Walaupun waran dikeluarkan pada 31
Disember, polis tidak menangkap Hossain dan Akter yang hidup bebas di
Dhaka. Tidak dapat dipastikan mengapa mereka memutuskan untuk menyerah
diri.
Antara 13 didakwa
Pasangan berkenaan antara 13 orang
termasuk pengurus kilang dan pengawal keselamatan yang didakwa
menyebabkan kebakaran, membunuh tanpa niat dan kecuaian yang
mengakibatkan kematian berhubung tragedi itu.
Mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Kebakaran pada November 2012 itu, yang
terburuk melanda kilang pakaian, mendedahkan masalah keselamatan di
sektor itu yang menjadi tulang belakang ekonomi Bangladesh, yang
menyaksikan kira-kira empat juta pekerja membanting tulang untuk sektor
bergaji paling rendah di dunia.-AFP