KUALA LUMPUR – Pasangan Malaysia yang ditahan reman di Sweden bagi membolehkan siasatan terhadap insiden tangan anak lelaki mereka dikatakan dipukul, dijangka didakwa di mahkamah daerah Stockholm esok (10 Feb).
Kristofer Stahre, peguam bagi Shalwati Nurshal, ibu kanak-kanak itu, berkata pendakwa, Anna Arnelle memberitahu beliau (Stahre) bahawa ia akan mengemukakan dakwaan itu terhadap pasangan berkenaan.
“Jika pendakwa mengemukakan dakwaan, beliau (Anna) berkemungkinan besar akan mengemukakannya terhadap kedua-dua ibu bapa itu.
“Dakwaan itu akan menjadi rasmi pada 10 Feb, jam 11.00 pagi (6ptg waktu Malaysia) dan anda (media) boleh mendapatkan pengesahan perkara itu dengan menghubungi mahkamah daerah atau pejabat pendakwa,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel hari ini.
Stahre berkata anak guamnya akan mencabar dakwaan itu.
Beliau berkata tiada pendengaran dibuat pada hari itu dan pendakwa akan menyerahkan dakwaan secara bertulis.
Beliau berkata tarikh bagi pendengaran awal mungkin ditetapkan 18 Feb jam 9 pagi (4ptg waktu Malaysia) dan perbicaraan itu dijangka berlangsung 14 hari.
Menurut Stahre, anak guamnya amat berterima kasih atas segala sokongan yang diterimanya dari saudara mara yang datang ke Sweden tetapi mereka tidak semestinya dapat berjumpa Shalwati sehingga perbicaraan berlangsung.
Adalah difahamkan pihak pembela (suami dan isteri) akan merayu kepada mahkamah bagi membebaskan pasangan itu dari reman oleh kerana tidak ada kemungkinan mereka akan mencederakan anak-anak mereka, yang kini sudah pulang ke Malaysia.
Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, dan suaminya Azizul Raheem, seorang pegawai Pelancongan Malaysia di Sweden, telah ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas kerana memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana gagal menunaikan solat.
Sejak itu, reman mereka dilanjutkan tiga kali.
Sistem kehakiman Sweden tidak membenarkan orang yang dituduh dibebaskan dengan ikat jamin.
Empat anak pasangan itu yang pada mulanya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini pada 30 Jan.
Kanak-kanak itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan dan kini dijaga oleh ibu dan bapa saudara mereka di Kelantan.
Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata mereka percaya pasukan pembela akan memberikan hujah terbaik membela anak guam mereka.
“Kita hormati prosedur dan undang-undang di Sweden…Namun, kita harap tidak ada kes terhadap pasangan itu,” kata beliau ketika dihubungi. – BERNAMA