VIDEO: Jom Layan Pak Ali The Legend

VIDEO: Jom Layan Pak Ali The Legend


Melaka – Persembahannya cukup menghiburkan dan pasti mencuit hati setiap orang menonton sehingga ada yang sanggup menunggu lama semata-mata mahu melihat dia beraksi.
Hampir setiap hari warga emas Mohamad Ali Husin, 57, sanggup bersengkang mata bermula jam 9 malam sehingga 1 pagi hanya sekadar mahu menjadi penyeri bagi menghidupkan suasana malam di kawasan pelancongan Hang Tuah Mall di Jalan Hang Tuah, di sini, sejak lima tahun lalu.

Popular dengan gelaran ‘Pak Ali The Legend’, bapa kepada sembilan anak itu kini bagaikan selebriti selepas videonya mendendangkan lagu Kehilangan dendangan penyanyi negara jiran, Firman, dimuat naik ke laman sosial dan Youtube oleh pengunjung restoran tempatnya menyanyi sejak hampir sebulan lalu.
Persembahannya yang cukup bersahaja dengan lenggok badan mengikut rentak dan aksi menghayun tangan serta melonjak itu membuatkan mereka yang menontonnya tidak pernah kering gusi.


Menceritakan pembabitannya dalam persembahan jalanan itu, Mohamad Ali dari Kampung Morten, di sini, berkata, ia bermula selepas dia aktif sejak 10 tahun lalu dengan menyanyi di restoran atau majlis perkahwinan di sekitar negeri ini yang ada menyediakan kemudahan karaoke.
Katanya, ketika menyanyi dia tidak berdiri kaku dengan hanya memandang skrin bagi mengikut lirik yang tertera, sebaliknya lagu itu sudah dihafal dan hanya perlu beraksi dengan menari pelbagai gaya mengikut rentak muzik dinyanyikan.
“Saya tiada asas menari dan apa yang dilakukan semuanya secara spontan yang mana saya lakukan bersungguh-sungguh serta bertekad lakukan terbaik untuk menghiburkan orang yang menonton. – Harian Metro