PANASS…Rozita Che Wan Rugi Hampir RM500,000 Dek Iklan Kesuburan

Rozita Che Wan Rugi Hampir RM500,000
BUKAN sesuatu yang luar biasa apabila pihak yang sanggup menggunakan nama selebriti terkenal secara ‘haram’untuk mempromosikan produk mereka demi mengaut keuntungan.
Rozita Che Wan atau Che Ta yang kini sedang hamil tiga bulan juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Menerusi satu sidang media hari ini, dia memaklumkan bahawa dirinya telah kerugian hampir RM500,000 gara-gara tindakan sebuah  stokis yang menggunakan nama dan gambarnya untuk mempromosikan produk kecantikan dan kesuburan mereka di media sosial.
“ Sebelum ini pengurus saya telah pun menghubungi stokis dan pemilik produk mereka dan meminta agar iklan tersebut diturunkan.
” Malah saya sendiri telah menegur individu tersebut di laman Instagram. Namun, selepas 3 bulan, iklan tersebut masih tidak diturunkan,” katanya.
Akibatnya, pihak lain yang mahu melantik dirinya sebagai duta mahu menarik semula tawaran tersebut kerana kes itu masih belum diselesaikan.
Justeru, dia menerusi peguamnya telah menghantar notis tuntutan selama 14 hari untuk stokis tersebut menurunkan iklan tersebut jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan.
Rozita Che Wan Rugi Hampir RM500,000
Che Ta turut kesal kerana pihak tersebut mendakwa dirinya mengandung kerana menggunakan salah satu produk berkenaan.
Apa pun, diharap stokis tersebut menghentikan perbuatan mereka kerana ia merupakan perbuatan yang sangat tidak jujur.
Secara tidak langsung, tindakan mereka itu umpama menipu pelanggan. Tak berkat rezeki ya
Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.MY
(Sumber: Rotikaya / OHBULAN!)

Peserta Malaysia Berjaya Ke Final Asia’s Next Top Model Musim Kedua

Peserta Malaysia Finalis Asia's Next Top Model Musim Kedua
Seorang peserta Asia’s Next Top Model musim kedua dari Malaysia, Sheena Liam telah berjaya terpilih ke peringkat akhir serta menjadi di antara tiga peserta akhir dalam program pencarian model yang diinspirasikan daripada rancangan America’s Next Top Model.
Selain Sheena, dua lagi finalis adalah peserta dari Filipina iaitu Katarina Rodriguez dan Jodilly Pendre.
Pemenang bagi musim ini hanya akan diketahui pada 9 April depan di saluran Astro Star World (711).
Program yang memulakan tayangan sejak 8 Januari lalu mempertandingkan 16 peserta dari serata Asia antaranya Jepun, Hong Kong, India, Indonesia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Vietnam. - MYNEWSHUB.MY
Seorang peserta Asia's Next Top Model musim kedua dari Malaysia, Sheena Liam telah berjaya terpilih ke peringkat akhir serta menjadi di antara tiga peserta akhir dalam program pencarian model yang diinspirasikan
Oleh: AUDREY LEE

Hari Ke-29 Pencarian MH370 Babitkan 10 Pesawat, Tiga Jet Dan 11 Kapal

MH370: Antara Cemuhan Dan Kos SAR

KUALA LUMPUR – Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal dikerah menjejaki pesawat yang hilang itu.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan di sini Sabtu berkata operasi itu turut membabitkan kapal pertahanan Australia ADV Ocean Shield dan kapal hidrografi Tentera Laut Diraja British HMS Echo yang meneruskan pencarian di bawah permukaan air.
“Operasi pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700km di barat laut Perth, Australia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pencarian hari ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama dan keadaan cuaca hari ini cerah dan hujan diramal berlaku di kawasan pencarian.
Menurutnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.
JACC dilancarkan pada 1 April lepas di Perth, Australia bagi menyelaraskan pencarian pesawat MAS MH370 di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – BERNAMA

Rintihan Suami Penumpang MH370: Saya Mahu Jaga Anak-Anak…

Fullscreen capture 452014 120049 PM

KUALA LUMPUR:Pertama kali penulis melihat kelibat suami penumpang MH370 Fadzilah Abd Rahim iaitu Azrai Izet, ialah ketika dia teresak-esak menangis di sisi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 9 Mac di kaca televisyen.

Pada masa itu, satu dunia melihat rayuan Azrai dilontar kepada Rosmah yang berharap supaya MH370 dicari selain berulang kali menyatakan dia mempunyai empat orang anak.
“Tolonglah cari puan (Rosmah), anak saya empat orang semua, yang kecil dua tahun,” ulang Azrai dalam sedu sehingga kedengaran seperti dengar tidak dengar permintaannya.
Itu salah satu daripada tangisan keluarga penumpang dan krew MH370 yang penulis rasakan tidak pernah putus doa mengharap pesawat itu ditemui semula.
Ia tidak termasuk air mata seluruh rakyat negara ini yang menitis pada waktu bersujud pada Yang Maha Esa berdoa agar misteri ini segera bertemu jawapannya.
Dan seandainya doa dari seluruh dunia terhadap MH370 ini ditafsir kepada air hujan, tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan ia mampu menutup permukaan Lautan Hindi yang merupakan lautan ketiga terbesar di dunia itu.
Penulis cuba mengenali Azrai melalui laman sosial, Facebook, menghantar pesanan untuk bersahabat namun tidak menerima respons sehingga hari ini.
Apa yang penulis tahu, status terakhir Azrai di Facebook meminta rakan-rakan agar mendoakan keselamatan isterinya yang turut berada dalam pesawat ke Beijing itu.
Isterinya merupakan antara 20 orang pekerja Freescale Semiconductor yang berada di dalam MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menerusi Facebook, penulis mendapat tahu salah seorang anak Azrai merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak.
Azrai dan Nor Fadzillah mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 13, 10, empat dan dua tahun.
Kurang seminggu sebelum genap sebulan insiden MH370 terjadi, penulis berkesempatan bertemu sendiri Azrai pada majlis bacaan Yaasin dan solat hajat Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) pada 3 April.
Walau benak fikiran menyimpan 1001 persoalan dan pertanyaan kepasa Azrai mengenai perasaan, harapan, kehidupan, anak-anak, kerja dan sebagainya, ia seolah-olah hanya berlegar di peti suara yang kehilangan kunci pintu untuk meluahkan suara.
Penulis buntu dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara.
Usai solat hajat dan Isyak berjemaah dengan lebih kira-kira 400 pelajar dan bekas pelajar Sekolah Alam Shah (Azrai merupakan bekas pelajar pada tahun 1993), penulis gagahkan langkah untuk menghampirinya, bersalam dan menutur senyum.
Azrai memandang dan mengangguk, kotak fikiran saya laju mengimbas rakaman semula di kaca televisyen, batang tubuh kecil inilah salah seorang yang penulis lihat teresak-esak di KLIA awal Mac lepas.
Dan penulis yakin tangisan seluruh keluarga penumpang serta krew MH370 semakin lebat sebaik sahaja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 berakhir kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia pada 25 Mac lalu.
“Tak payah tanya apa-apa lagilah, saya mahu jaga keempat-empat anak,” ujarnya perlahan.
Penulis terkedu, Azrai berjalan perlahan penuh longlai ke dewan makan untuk jamuan kecil-kecilan selepas majlis solat hajat ditemani warga ASAS lain.
Menuruti langkah mereka, penulis melihat Azrai berpimpinan dengan seorang anak lelakinya yang berumur empat tahun.
Penulis tatap wajah keduanya, mengharap sebaris dua ayat daripada Azrai atau anaknya yang mungkin boleh direkod melalui kamera video untuk dikongsi simpati bersama seluruh rakyat, namun harapan tinggal harapan.
Selepas makan, Azrai bersalaman dan meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi, kemudian berlalu.
Sebelum itu, seorang pakcik yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa mertua Azrai, menepuk perlahan belakang penulis dan berkata;
“Tak payah tanya apa-apa lagilah, Azrai sekarang mahu jaga keempat-empat anaknya.” –  ASTRO AWANI

VIDEO: Pembaca Berita TV ‘Baik’ Punya Berdandan Tak Sedar Dah ‘On Air’


Seorang pembaca berita Channel News Asia masih membetulkan rambut tanpa menyedari aksinya itu sudah ditayangkan secara langsung.
Kejadian yang berlaku ketika segmen berita pagi pada Rabu, 2 April lalu ini sempat dirakam seorang penonton yang kemudiannya berkongsi video tersebut di laman Facebook.
Rakaman menunjukkan pembaca berita tersebut bukan sahaja membetulkan rambut, melihat wajahnya pada cermin bedak kompak malah sempat mencapai pemyembur rambut.
Mungkin selepas kesilapan disedari, lensa kamera kemudiannya kelihatan ditutup sesuatu namun pembaca berita tersebut, Chan Eu Imm dipercayai masih tidak menyedari perkara ini kerana dia kedengaran bercakap sesuatu dipercayai kepada pengarah studio.
Sebenarnya insiden ‘bloopers‘ begini bukan perkara asing malah ia juga pernah di beberapa stesen televisyen terkenal termasuk di Malaysia. – REM RAMZI MYNEWSHUB

Kecewa Kerana Tidak Terpilih, Pemandu Ambulans Ugut Bunuh Diri Di ISN

Kecewa Kerana Tidak Terpilih, Pemandu Ambulans Ugut Bunuh Diri Di ISN

KUALA LUMPUR – Gara-gara kecewa kerana tidak terpilih untuk temuduga jabatan, seorang pemandu ambulans mengugut mahu membakar dirinya di dalam ambulans di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, di sini, Jumaat.
Bagaimanapun, cubaan membunuh diri oleh pemandu berusia 43 tahun itu tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk oleh isterinya sebelum diselamatkan oleh anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pemandu tersebut bertindak mengurungkan diri di dalam ambulans bersama sebuah tong minyak petrol kerana kecewa tidak terpilih untuk menghadiri temuduga itu.
“Maklumat awal mengenai insiden itu diperolehi daripada seorang kakitangan institut itu yang memberitahu terdapat seorang pemandu ambulans ISN mengurungkan diri dalam sebuah ambulans bersama sebuah tong minyak,” katanya dalam kenyataan di sini.
Susulan maklumat itu, katanya, anggota polis dan bomba tiba di lokasi kejadian dan menemui pemandu tersebut yang mengugut untuk membakar diri.
“Usaha memujuknya berjaya dilakukan setelah isteri lelaki itu datang ke lokasi dan lelaki itu dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan perubatan,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh diri.
– BERNAMA

CULIK: Abu Sayyaf Dijangka Meminta Wang Tebusan Hingga RM11.5 Juta

CULIK: Abu Sayyaf Dijangka Meminta Wang Tebusan Hingga RM11.5 Juta
PETALING JAYA – Kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai bertanggungjawab menculik seorang warga china dan seorang pekerja resort warga Filipina di Semporna Sabah akan meminta wang tebusan sehingga AS$3.5 juta (RM11.5 juta) untuk membebaskan mangsa bukan warganegara Filipina, kata seorang penganalisis keselamatan.
Prof Dr Aruna Gopinath yang pakar dalam keselamatan maritim berkata, kumpulan pemisah yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina itu akan mengenakan kadar yang lebih rendah sekitar tiga juta pesos (RM219,000) untuk membebaskan tebusan warga Filipina.
“Kumpulan Abu Sayyaf hanya berminat untuk mendapatkan wang dan wang tebusan akan dibayar sebelum mereka membebaskan tebusan,” katanya.
Aruna berkata, seorang wartawan Filipina yang dikenalinya diculik oleh kumpulan itu pada 2011 dan dijadikan tebusan selama 90 hari.
“Dia bertemu dengan ketua kumpulan Abu Sayyaf di Basilan untuk temu bual tetapi sebaliknya diculik oleh mereka. Dia dikurung di dalam sebuah rumah dan hanya diberikan air dan dua biji pisang tiga kali sehari.
Aruna berkata, seorang ahli kongres Filipina akhirnya bersetuju untuk membayar wang tebusan tiga juta pesos sebelum mangsa dibebaskan.
Sebuah lagi kumpulan iaitu Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang pakar dalam kegiatan penculikan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia, kata Aruna.
Dalam perkembangan lain, Associated Press memetik seorang pegawai risikan Filipina pada Khamis sebagai berkata mengesahkan penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
Menurut pegawai tersebut, ketua kumpulan Abu Sayyaf itu berang kerana tidak dibawa bersama dalam perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). – The

VIDEO: Sesiapa Saja Boleh Beli Simulator, Boleh Mendaratkan Pesawat Di Mana Saja

VIDEO: Sesiapa Saja Boleh Beli Simulator, Boleh Mendaratkan Pesawat Di Mana Saja

SUBANG – “Sesiapa saja memiliki komputer boleh beli perisian simulasi penerbangan dan belajar mendaratkan pesawat di lapangan terbang seluruh dunia. “Oleh itu, tuduh Zaharie terbabit dalam insiden MH370 semata-mata kerana memiliki simulator adalah tidak adil.”
Itu tegas Pengarah syarikat simulasi penerbangan Simflight KL Kapten Amin Said yang menganggap tuduhan dilemparkan oleh media asing terhadap juruterbang pesawat penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai tidak berasas.
Katanya, satu kebiasaan bagi juruterbang profesional memiliki simulator penerbangan sendiri untuk menambah kemahiran dan pengetahuan mereka, lebih-lebih lagi bagi seorang individu yang amat berminat dalam bidang penerbangan seperti Zaharie.
“Seperti seorang pemuzik ada perisian peralatan muzik yang boleh dimuatkan dalam komputer, begitu juga juruterbang dengan simulasi mereka. Ini adalah sesuatu yang normal untuk menambah kemahiran.
“Saya kenal rapat dengan Zaharie ketika bersama-sama aktif bermain kapal terbang kawalan jauh lewat tahun 90-an. Dia adalah seorang yang periang dan gemar berkongsi pengetahuan dan amat serius dalam kerjayanya sebagai seorang juruterbang.
“Tak mungkin dia sengaja lakukan sesuatu untuk memudaratkan penumpang dan kru pesawat itu,” katanya di pejabat Simflight KL di sini.
Menurutnya, dia terkejut apabila media asing mengaitkan isu peribadi Zaharie dengan insiden berkenaan dan yakin sahabatnya itu tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam dalam isu kehilangan pesawat itu.
Pandangannya terbukti benar apabila Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti untuk mengaitkan Zaharie selepas pasukan siasatan meneliti cakera keras dan simulator penerbangan itu.

MH370: Cakap Dengan Saya Terus Kalau Perlu Bantuan – Setiausaha Pertahanan AS

MH370: Cakap Dengan Saya Terus Kalau Perlu Bantuan - Setiausaha Pertahanan AS
HONOLULU –  Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Chuck Hagel berkata Washington bersedia untuk memenuhi permintaan bantuan tambahan daripada Malaysia dalam usaha mencari pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada permintaan sedemikian dikemukakan Menteri Pertahanan Malaysia yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mereka bertemu di sini sempena dengan Forum Pertahanan AS-Asean yang berakhir di sini, Khamis.
“Saya memberitahu beliau (Hishammuddin) dengan jelas jika beliau mempunyai permintaan tambahan, bercakap dengan saya secara langsung.
“Saya juga memberitahu beliau, jika ia mungkin, kami benar-benar akan menghormati sebarang permintaan tambahan (untuk bantuan),” Hagel bercakap dalam sidang media sempena berakhirnya dialog AS-Asean.
Pesawat Malaysia ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Operasi melibatkan pelbagai negara bagi mencari Boeing 777-200ER itu membabitkan negara jiran Malaysia dan negara-negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, China dan Australia yang setakat ini hasilnya masih kosong.
Pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi dengan misi carian kini sedang dijalankan daripada Perth, Australia.
Hagel berkata Hishammuddin, yang mewakili Malaysia pada forum di Hawaii ikhlas tentang pujian terhadap rakan-rakan pertahanan Asean serta Amerika Syarikat dengan bantuan yang diberikan dalam mencari pesawat berkenaan.
Setiausaha Pertahanan AS itu juga menegaskan, beberapa rakyat negara lain turut berada dalam pesawat penerbangan Malaysia itu.
Beliau berkata China dan banyak negara di Asia Pasifik yang diminta oleh Malaysia untuk memberi bantuan, telah memenuhinya.
“Ini adalah mengenai manusia. Lagipun, bukankah ia merupakan inti pati yang kita berpegang teguh, iaitu melindungi rakyat kita dan membantu orang lain apabila mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin dan rombongan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berlepas pulang dari Honolulu, sebaik tamatnya forum.

SEGERA: Filem Noah Tidak Akan Ditayangkan Di Malaysia – LPF

NoahFilm
Noah, filem berkaitan nabi Noh, diharamkan di Malaysia atas alasan ajaran Islam tidak membenarkan gambaran visual seorang nabi.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah “berjaga-jaga”, kerana ia dianggap tidak sensitif terhadap orang Islam, lapor theSun.
“Filem itu diharamkan kepada pada kita orang Islam, kita percaya pada Nabi Noh dan menurut ajaran Islam, dilarang melakonkan semula aksi watak nabi.
“Mana-mana gambaran nabi dilarang oleh Islam,” beliau dipetik sebagai berkata.
Filem itu dikatakan berdasarkan kisah-kisah Bible berkaitan Nabi Noh dan peristiwa banjir besar.
Ia diarahkan oleh Darren Aronofsky dan bintang terkenal Russell Crowe beraksi sebagai Nabi Nuh.
Beberapa negara Islam, termasuk Mesir, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia dilapor mengharamkan filem itu bulan lepas.
Pengarah kandungan media di Pusat Media Kebangsaan UAE dilaporkan berkata:
“Terdapat babak bertentangan dengan Islam dan Bible, justeru kami putuskan tidak menayangkannya.”
Crowe dilapor menjangkakan pengharaman itu di negara-negara Islam.  – Malaysiakini.com