KUALA LUMPUR – Pasukan khas dari
China yang terdiri daripada para pegawai berkedudukan tinggi, tiba di
sini semalam bagi membantu usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia
MH370, yang hilang sejak Sabtu.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata pasukan yang dianggotai wakil parti
politik dan menteri-menteri berkaitan akan membantu dalam tiga aspek
iaitu mencari pesawat, membantu dalam siasatan dua individu yang dikesan
menggunakan pasport palsu sebagai penumpang dan membantu keluarga
penumpang pesawat itu dari China.
Keluarga penumpang dari China yang akan
dibantu ada yang telah tiba di sini lebih awal, kata beliau kepada
pemberita di lobi Parlimen selepas majlis perasmian pembukaan penggal
kedua Parlimen Ke-13 hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang
menunggu maklum balas hasil perbincangan dengan pihak-pihak terlibat
seperti Polis dan Jabatan Imigresen untuk melihat keperluan meningkatkan
lagi protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
“Ia melibatkan agensi lain juga, cuma
saya belum sempat bercakap dengan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi hari ini, ketua polis negara juga bersama kami dengan
Jabatan Imigresen,” kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan.
Beliau berkata perbincangan dengan agensi perisikan antarabangsa juga akan dijalankan mengenai hal itu.
Hishammuddin menegaskan bahawa kerajaan
tidak menyembunyikan sebarang fakta daripada orang ramai mengenai apa
sahaja perkembangan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370.
“Jadi sesiapa yang
bertanggungjawab dalam kenyataan akhbar akan maklumkan pada masa yang
sesuai dan kalau ada soalan-soalan yang berkisar kepada fakta, tidak ada
perkara yang kita (kerajaan) tidak akan maklumkan kepada orang ramai,
maksudnya tiada apa yang disembunyikan pun,” katanya.
Pesawat MAS MH370 yang membawa 227
penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke
Beijing dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu, kira-kira sejam
selepas berlepas dari KLIA di Sepang. Ia sepatutnya dijadual mendarat di
Beijing pada pukul 6.30 pagi. – BERNAMA