SEPANG – Pasukan khas terdiri 10 pegawai kerajaan China tiba di sini malam ini bagi membantu Malaysia menjalankan siasatan berhubung pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak awal pagi Sabtu.
Pasukan itu diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular Republik Rakyat China Guo Shao Chun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8 malam tadi.
Anggota pasukan itu terdiri pegawai polis, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar.
Guo berkata kedatangan pasukan mereka antara lain juga bertujuan menguruskan keperluan dan keselesaan waris penumpang pesawat MH370 dari negaranya.
“Kami juga datang ke sini untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai bagi kes ini, dan pada masa sama mempertingkat platform komunikasi antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.
Pasukan khas itu akan berpangkalan di Kedutaan Republik Rakyat China, Jalan Ampang di sini dan memulakan tugas mereka malam ini.
“Kita menggesa Malaysia agar mempercepat siasatan bagi menyelesaikan kes ini,” kata Guo.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri warganegara 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. – BERNAMA