SHAH ALAM – Juruterbang pesawat Boeing 777 MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah merupakan seorang juruterbang berpengalaman yang bukan sahaja mampu menerbangkan Boeing 777 di udara, malah pesawat itu turut ‘diterbangkan’ di rumahnya.
Minatnya terhadap penerbangan amat
mendalam, hinggakan ketika masa lapang Zaharie sering menghabiskan masa
menerbangkan koleksi pesawat kawalan jauh beliau.
Beliau juga membina sendiri set simulasi
penerbangan Boeing 777 untuk terus mempertajamkan kemahiran
menerbangkan pesawat Boeing 777 yang sebenar.
Dalam sebuah bilik khas, beliau
menempatkan tiga skrin LCD 32 inci dan tiga skrin sesentuh 21 inci yang
mewakili alat navigasi dan fungsi yang berbeza seperti di dalam pesawat
Boeing 777 yang sebenar.
Memetik catatan blog Sharelor.net, Zaharie juga gemar memasak dan sering memuat naik gambar hidangan yang dimasaknya.
Beliau juga sering berkongsi pengetahuan mengenai cara-cara melakukan sendiri penjimatan elektrik di laman YouTube.
Berdasarkan rekod MAS, bekas penuntut di
Penang Free School ini telah mencatatkan 18, 365 jam penerbangan sejak
menyertai Malaysia Airlines pada 1981.
Namun kita pasti dengan adanya program
simulasi di rumah, beliau telah menerbangkan Boeing 777 melebihi rekod
rasmi yang dicatatkan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian
Online mendapati satu akaun Facebook atas nama “Kapten Zaharie Ahmad
Shah” telah diwujudkan hari ini dan telah meraih perhatian 1,772
pengguna internet sehingga jam 11 malam tadi. – Sinar Harian Online