PETALING JAYA – Tiada kapal selam
digunakan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370 yang hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri
Abdul Aziz Jaafar.
Katanya, ini kerana kapal selam tidak
sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya dilengkapi sistem sonar
pengesan yang terhad dan tidak berupaya mengesan objek statik di dasar
laut.
“Sonar yang dipasang pada kapal selam
tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang berada di paras
laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau yang mengeluarkan
bunyi,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik
Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini Selasa.
Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.
Abdul Aziz berkata, bagi mengesan objek
di dasar laut ia selalunya dilakukan kapal yang dilengkapi sistem sonar
lebih berkeupayaan tinggi dalam mengesan objek di paras laut seperti
kapal selam penyelamat, kapal hidrografi dan kapal pengesan periuk api.
Katanya, kapal yang mempunyai
kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk kapal MV
Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja
Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura.
“Jadi saya harap selepas ini tidak ada
lagi tohmahan ataupun pertanyaan mengenai kenapa kapal selam tidak
digunakan dalam operasi mencari MH370 ini,” katanya.
Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia
Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang
termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30
pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri
daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan
38 rakyat Malaysia. – mStar Online