PETALING JAYA – Pelawak Ajak
(Shiro) mengakui tidak sanggup tinggal di wad dalam tempoh yang lama
sepanjang dimasukkan ke wad akibat penyakit denggi Ahad lalu di Hospital
Pakar Kluang Utama, Johor.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi
Bin Razak, 28, berkata, dia berasa rimas dengan suasana hospital dan
membuatkan dirinya rasa lebih sakit dan keadaan itu membuatkannya
meminta kebenaran untuk pulang ke rumahnya pada pagi Selasa.
“Bukan main susah lagi apabila kena
tahan di wad akibat denggi. Sejak ditahan, saya minum air dengan banyak
supaya dapat sembuh dengan cepat.
“Mujurlah platlet darah saya naik dan doktor memberi kebenaran untuk saya keluar hospital atas jaminan sendiri.
“Dan saya akan menjalani rawatan setiap hari sehingga demam denggi saya benar-benar sembuh,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Ajak, sebelum ditahan wad, dia
sempat melawat seorang kanak-kanak yang merupakan peminatnya di sebuah
hospital di Negeri Sembilan.
“Sebenarnya doktor mengesahkan saya
terkena penyakit denggi pada Sabtu lepas di KL (Kuala Lumpur). Kemudian
saya mengambil keputusan untuk masuk ke hospital sekitar Kluang, senang
untuk keluarga menjaga saya.
“Tetapi sebelum itu saya ke Negeri
Sembilan pada keesokan harinya kerana mendapat tahu seorang kanak-kanak
yang sangat meminati kumpulan Shiro sakit teruk sejak sembilan tahun
lalu.
“Tanpa ambil peduli sakit yang dilalui,
saya gagahkan diri melawat budak itu. Alhamdulillah, seronok apabila
dapat membuatkan orang lain terutamanya kanak-kanak gembira. Dan
kemudian saya terus ke hospital pada hari yang sama,” ujarnya.
Selain Ajak, Shiro turut dianggotai oleh Shahrol. – mStar Online