NEW DELHI – Kapal Tentera Laut
India yang membuat rondaan di Selat Melaka menyertai operasi mencari dan
menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang
Sabtu lepas.
Satelit Tentera Laut India Rukmini atau
GSAT-7 juga diaktifkan untuk merekodkan apa-apa petunjuk yang boleh
membawa kepada penemuan pesawat yang hilang itu, lapor Media India.
Operasi SAR memasuki hari kelima hari ini.
Lebih 40 kapal dan 26 pesawat dari
pelbagai negara menyertai operasi SAR selepas pesawat itu hilang secara
misteri daripada radar pada 8 Mac.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang
termasuk lima warganegara India dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul
12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. – BERNAMA