KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka
menghantar angkasawan keduanya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada
2017 atau 2018, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr
Ewon Ebin.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keadaan semasa ekonomi negara.
“Bagi Program Angkasawan Kedua
ini kita telah mempunyai seorang calon sedia ada yang hanya menunggu
masa sahaja. Tapi ini masih terbuka kepada calon-calon lain yang
berminat menjadi angkasawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas merasmikan program ‘Malaysian Space Odyssey: 20 Years With
National Planetarium’ sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan
Planetarium Negara di sini, hari ini.
Malaysia buat julung kalinya menghantar
angkasawan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS dengan roket Soyuz
TMA-11 pada 10 Oktober 2007, hasil kerjasama dengan Rusia dan beliau
menjalankan pelbagai penyelidikan antaranya membabitkan sel kanser dan
leukemia di stesen angkasa itu.
Ewon berkata, kerajaan kini juga sedang
merangka pembinaan satelit ‘remote sensing’ bagi memantau permukaan bumi
iaitu RazakSAT-2.
“Program ini masih dalam peringkat
perbincangan dan kita masih memilih teknologi yang kita fikir sesuai
kerana kita tak mahu terburu-buru untuk melancarkannya sebelum semua
perkara berkaitan dapat kita pastikan,” katanya.
RazakSAT-2 adalah kesinambungan Program
Satelit RazakSAT yang dilancarkan pada 14 Julai 2009 di Kwajalein Atoll,
Republik Marshall Islands menerusi kenderaan pelancar, Falcon 1 yang
dikendalikan Space Exploration Technologies Amerika (SpaceX). – BERNAMA