KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera hari ini terhadap
empat pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera berhubung isu dakwat
kekal ketika pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Mejar Zaidi Ahmad, 45, dari Pangkalan Udara Butterworth, turut mengaku tidak
bersalah atas tiga lagi pertuduhan iaitu menyiarkan maklumat rasmi kepada media
dan menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik.
Dia membuat pengakuan itu di depan enam anggota panel diketuai Yang Dipertua
Kolonel Saadon Hasnan.
Anggota panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi
Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S.Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor
Azman Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zaidi didakwa membuat kenyataan media
berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran
pihak angkatan tentera, tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan di
pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas pada 1 Mei 2013.
Zaidi juga berdepan dua lagi pertuduhan iaitu membuat kenyataan media bagi
melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya
disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera.
Dia juga didakwa menyiarkan maklumat rasmi iaitu berupa kawat tumpangan
keluar kepada pihak media tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera.
Pegawai tentera itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di Taman Bertam
Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei 2013.
Bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, Zaidi didakwa menghantar SMS berbaur
politik atau hasutan semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei
2013.
Dia didakwa mengikut Sekysen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972
yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan,
termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa TUDM Mejar Ahmad Sanusi Ali manakala
Zaidi diwakili peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga hari bermula 8 April
ini. – BERNAMA