PORT DICKSON – Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Sabtu mengingatkan pegawai
kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar memelihara imej tentera bagi
memastikan pasukan itu kekal mulia di mata masyarakat.
Titah baginda untuk itu mereka perlu
sentiasa mematuhi disiplin ketenteraan selain menjaga tingkah laku agar
tidak mencemarkan imej dan reputasi ATM.
Baginda turut menggesa pegawai kadet ATM
agar terus mengejar ilmu bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan
bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.
Walaupun negara dalam keadaan aman
sekarang, ancaman boleh datang pada bila-bila masa dari dalam dan luar
negara dalam pelbagai bentuk, titah baginda sempena Perbarisan
Pentauliahan Diraja 61 pegawai kadet tauliah jangka pendek ke-76 di
Kolej Tentera Darat (KTD) di sini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah
Haminah turut berangkat ke istiadat itu. Hadir sama Panglima Angkatan
Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat
Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar
Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tuanku Abdul Halim turut menasihati pegawai kadet berkenaan agar mencontohi kecemerlangan perwira terdahulu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua
mencemar duli berangkat menyempurnakan istiadat perbarisan pentauliahan
diraja itu yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Nor Ikhmar Madarsa.
Nor Ikhmar kemudian diumum sebagai
Penuntut Keseluruhan Terbaik manakala Pegawai Rendah Muda Mohamad Shafiq
Ramzan dinobat Penuntut Terbaik Kemahiran Ketenteraan.
Kumpulan pegawai kadet itu ialah yang
terakhir diurus selia oleh KTD yang akan distrukturkan semula menjadi
Akademi Tentera Darat.
Turut diadakan hari ini adalah acara
penurunan bendera KTD sebagai simbolik penstrukturan semula kolej.
Bendera itu kemudian dipersembah kepada Tuanku Abdul Halim oleh Komandan
KTD Kolonel Abdul Aziz Ahmad. – BERNAMA