London – Bekas isteri Sultan
Brunei, Mariam Aziz mengaku menjual barang kemasnya bagi membayar hutang
judi berjumlah lebih £1 juta di kasino di sini.
Beliau berkata demikian ketika memberi
keterangan dalam perbicaraan melibatkan pengawal peribadinya, Fatimah
Lim yang dituduh mencuri berlian bernilai £12 juta daripadanya dan
menggantikan dengan berlian replika.
Fatimah mendakwa dia berbuat demikian
untuk membayar hutang judi selama 20 bulan ketika Mariam mengunjungi
kasino di seluruh dunia.
Bagaimanapun Mariam menafikannya dan
memberitahu bahawa dia tidak pernah meminta sesiapapun terutama Fatimah
untuk menjual berlian berkenaan kerana dia sendiri boleh membayar hutang
itu.
Fatimah telah diupah oleh Mariam sebagai jurulatih badmintonnya sebelum menjadi pengawal peribadinya.
Dalam sesi perbicaraan itu juga, Mail
Online melaporkan mahkamah mendengar keterangan bahawa Mariam, 57,
pernah rugi sebanyak £500,000 hanya dalam semalam, ketika berjudi di
London.
Wanita itu yang juga bekas pramugari
dilaporkan kerap mengunjungi kasino di Singapura, Macau dan London –
termasuk Clermont Club di Berkeley Square , di mana dia mempunyai had
kredit sebanyak £2.5 juta.
Mahkamah turut dimaklumkan Mariam
memujuk pengawal peribadinya yang beragama Islam untuk berjudi dan
memberi cip judi bernilai £1,500 pada satu-satu masa meskipun ia
bertentangan dengan ajaran Islam.
Mariam yang memiliki hartanah di
Leicestershire, Kensington, dan Singapura mendakwa dia tidak mempunyai
masalah untuk menyelesaikan hutang judinya.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Mariam bercerai pada 2003 selepas 21 tahun berkahwin serta mempunyai empat orang anak.
Perbicaraan itu bersambung.