BUKIT MERTAJAM – Sebahagian
kawasan pintu masuk dan pos pengawal di Balai Polis Bukit Tengah, di
sini rosak selepas beberapa suspek yang tidak dikenali melontar sejumlah
bahan letupan dipercayai mercun awal hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Pulau Pinang ACP Nasir Salleh berkata dalam kejadian 4.50 pagi itu empat
anggota polis yang sedang bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Dua anggota berada dalam balai polis
manakala dua lagi sedang buat rondaan di kawasan balai. Mereka hanya
menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian
pintu masuk balai.
“Mereka bergegas melihat kawasan
kejadian dan mendapati beberapa cermin tingkap dan siling di pintu masuk
balai polis itu pecah manakala pos pengawal berhampiran pagar juga
rosak akibat letupan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Katanya kerugian akibat kejadian itu dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000.
“Berdasarkan siasatan awal, beberapa
suspek yang dipercayai menaiki motosikal membaling mercun bola yang
diikat dalam jumlah yang banyak ke arah pintu hadapan balai berkenaan
dan melarikan diri sebaik berbuat demikian.
Kejadian itu berlaku dengan pantas, kata Nasir.
Setakat ini polis belum mengetahui motif sebenar kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di balai berkenaan tetapi kita
akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan berhampiran bagi
mengenal pasti suspek terlibat,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 5 Akta Bahan-bahan Hakisan dan letupan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan
diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis
Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), DSP Aziz Ahmad di talian 04-5382222
atau mana-mana balai polis berdekatan. – BERNAMAFoto: BH Online