DALAM beberapa jam sahaja lagi, gelaran unggul Maharaja Lawak Mega 2013 bakal dinobatkan di antara salah satu daripada lima finalisnya.
Lima nama yang berjaya ke peringkat finale pada malam ini ialah kumpulan Shiro, Jambu, Bocey, Sepahtu dan satu-satunya peserta solo, Nabil Ahmad.
Selepas 12 minggu bertarung menambat hati peminat dan juri, pertarungan akhir ini dilihat bakal memberikan saingan hangat di antara mereka.
Jika dilihat daripada minggu ke minggu, dua kumpulan ini iaitu Shiro dan Bocey yang paling konsisten untuk meraih gelaran juara, ini kerana mereka sentiasa memberikan lawak yang baru dan tidak berulang-ulang pada setiap minggu.
Walaupun dilihat sebagai generasi pelawak baharu, Bocey yang dianggotai oleh Abam, Achey dan Fad, berjaya mengumpul peminatnya yang tersendiri yang nyata terhibur dengan lawak ‘fresh’ dihidangkan mereka, namun seperti biasa, ramai menjangkakan Bocey tidak ‘tergapai’ tangan mereka untuk bergelar juara disebabkan kekurangan peminat jika dibandingkan dengan finalis yang lain.
Tapi tak mustahil Bocey boleh membuat kejutan pada malam ni kan!
Mengikut undian setakat ini, Sepahtu masih mengungguli tangga teratas dengan 24 peratus, diikuti Shiro 21 peratus, Nabil (20 peratus), Bocey (19 peratus) dan Jambu (15 peratus).
Dalam pada itu, jangan dipandang sebelah mata bakat dan keupayaan melawak peserta solo ini, walaupun tampil berseorangan namun Nabil dilihat sebagai seorang lagi pesaing yang mampu memberikan saingan yang hebat.
Namun, kehebatan Nabil hanya terserlah pada awal-awal minggu sahaja seperti di minggu pertama dan kedua, di mana lawaknya sangat menjadi dan meletup!
Ramai beranggapan Nabil tidak sewajarnya memainkan unsur lawak yang boleh menjatuhkan maruah seseorang individu tersebut. Diharapkan pelawak kelahiran Negeri Sembilan ini mengambil iktibar daripada insiden itu dan tidak mengulanginya lagi lebih-lebih lagi pada malam final ini.
Kumpulan Jambu yang dianggotai Yus dan Tauke juga merupakan pilihan orang ramai untuk bergelar juara kerana lawak spontan dan ‘merapu’ mereka yang selalunya mengundang gelak ketawa penonton.
Antara yang masih segar di ingatan penulis ialah lawak di mana Yus dengan selamba menggelar juri Datuk Yusof Haslam sebagai ‘driver’nya dan juga memanggil Nora Danish dengan nama baru, Siti Nur Enjoy.
Yang menariknya, Jambu dilihat salah seorang peserta yang gemar mengenakan pakaian atau ‘attire’ berwarna pink, kenalah dengan nama Jambu mereka.
Akhir sekali, siapa yang tidak mengenali otai dalam program ini, iaitu Sepahtu yang dibarisi ahli asalnya, Jep dan Shuib dengan penambahan ahli baru iaitu Rahim.
Nama mereka hangat dijulang sejak awal musim MLM 2013, namun bila sampai pertengahan musim, mereka dilihat seakan kekurangan idea apabila kerap kali mengulang lawak yang sudah digunakan, selain gemar memainkan isu ahli baru mereka iaitu Rahim yang dilihat tidak berfungsi dalam kumpulan tersebut.
Diharapkan pada malam ini Sepahtu dapat mengembalikan semula sengat mereka sewaktu di awal-awal kemunculan kumpulan Sepah dahulu.
Jadi, siapa pula pilihan anda untuk bergelar juara MLM 2013 sekali gus meraih wang tunai berjumlah RM500,000 mengulangi kejayaan Jozan pada tahun 2012?
Sama-sama kita nantikan jam 10 malam ini!
Sementara itu, pemenang tempat kedua bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM250,000 dan tempat ketiga, RM150,000.
Dengan dua segmen bertemakan ‘bebas dan ‘musical comedy’, malam final ini akan dihoskan AC Mizal dengan kehadiran empat juri tetap, Datuk Yusof Haslam, Luna Maya (Indonesia), Sheikh Haikal (Singapura) dan Nora Danish.
Final MLM 2013 bersiaran langsung dari Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam dan disiarkan live di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Oleh: JULIANA JOHAR