KOTA BHARU – Keluarga pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal redha dengan keputusan mahkamah bagi mendakwa kedua mereka secara berasingan atas tuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.
Abang Shalwati, Badrul Hisham Mahzan, 55, ketika dihubungi menjelaskan tiada apa yang dapat dilakukan selain terus berdoa agar suami isteri itu akhirnya dibebaskan dan kembali bertemu anak-anak mereka.
Perbicaraan kes pasangan itu berkemungkinan bermula pada 18 Februari ini dan dijangka mengambil masa 10 hari.
Keempat-empat anak mereka, Aisyah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, kini berada dalam jagaan ibu saudara mereka, Shaleena Norshal, 42, di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor.
Azizul Raheem yang merupakan pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji ditahan pada 18 Disember lalu untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul anak mereka yang tidak bersolat.
Berikutan penahanan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia minggu lalu.
Sementara itu kempat-empat anak pasangan tersebut dikatakan sedih dengan berita berkenaan dan tidak ke sekolah pada Selasa.
Wakil keluarga berkenaan memaklumkan, adik beradik berkenaan tidak mahu diganggu dan dan memerlukan privasi. – Astroawani.com