KUALA LUMPUR – Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) 3.0 akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon
pada 22 Februari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi laman Facebooknya hari
ini, Najib berkata bagi pemohon yang tiada akaun bank atau tidak sempat
mengemaskini maklumat perbankan mereka, bayaran BR1M akan dibuat secara
berperingkat bermula 23 Februari.
Pendaftaran permohonan BR1M bagi pemohon
baharu ditutup pada 31 Januari lalu, sementara bagi penerima sebelum
ini mereka hanya perlu mengemaskini maklumat peribadi termasuk alamat,
maklumat anggota keluarga dan akaun bank.
Dalam pembentangan Bajet 2014 yang
diumumkam Najib pada Oktober lalu, isi rumah berpendapatan bulanan
RM3,000 dan ke bawah yang layak akan menerima bantuan BR1M sebanyak
RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000
sebulan akan menerima bantuan RM300.
Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan
kerajaan bagi melaksanakan bantuan itu yang bakal dinikmati hampir 7.9
juta rakyat Malaysia. – BERNAMA