PETALING JAYA – Pelawak Amir (Raja Lawak)
mendedahkan telah menemui cinta hati selepas kecewa dengan lima wanita
yang cuba mengambil kesempatan dan mempermainkan perasaannya sebelum
ini.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad
Amirullah Azmi, 25, berkata, dia digilai oleh dua orang wanita yang
tinggal di Kuala Lumpur selepas mereka berkenalan melalui aplikasi
sosial WeChat iaitu ‘people nearby’ dan ‘shake’.
“Saya mengaku sekarang ini ada
dua orang wanita yang ‘gilakan’ saya. Dua-duanya orang KL (Kuala
Lumpur). Kami kenal melalui WeChat. Saya mengaku saya sukakan mereka,”
katanya kepada mStar Online.
Dalam laporan portal ini tidak lama
dulu, Amir membuat pendedahan dikecewakan lima wanita termasuk seorang
yang bekerja sebagai jururawat.
Kelima-lima mereka menggunakan Amir untuk mengambil kesempatan menyebabkan dia serik untuk terus jatuh cinta.
Dalam pada itu pemuda yang berasal dari
Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan ini berkata, perkenalannya dengan
dua wanita berkenaan yang masing-masing berumur 20 dan 23 tahun, pada
peringkat mengenali hati budi masing-masing sebelum dia memilih calon
terbaik untuk dijadikan teman istimewa
Katanya, kedua-dua wanita itu juga turut
meluahkan perasaan mencinta Amir termasuklah menghantar mesej-mesej
berbau sayang setiap masa.
“Di antara mereka berdua, saya
akan pilih yang mana satu paling baik. Saya mahu wanita yang faham
kerjaya saya dan tidak cepat merajuk. Kedua-dua mereka cukup istimewa
kerana seorang tu kurus dan seorang lagi agak comel. Buat masa ini hati
saya lebih terbuka kepada yang comel,” ujarnya.
Bagaimanapun menurut Amir, disebabkan
ketiadaan kerjaya tetap dan mengharapkan pendapatan sebagai pelawak, dia
belum memutuskan untuk berumah tangga dalam masa terdekat.
Bercerita mengenai kerjaya, Amir berkata
dia lebih banyak dijemput menjadi pengacara untuk majlis-majlis
tertentu yang kerap kali dikendalikan bersama pelakon Bell Ngasri.
Walaupun pendapatannya tidak menentu
namun dia tidak pernah berkira dengan bayaran yang bakal diberikan
penganjur bagi mengendalikan sesebuah majlis.
“Saya tak ‘demand’ pun. Biasanya untuk
satu-satu majlis, kalau diberikan bayaran dalam RM3,000 pun saya ambil.
Jumlah tu kalau tinggi, boleh dibincangkan lagi. Apa yang penting saya
dapat pekerjaan untuk menyara hidup,” katanya. – mStar Online