ALGIERS – Sebuah pesawat
pengangkut tentera Algeria terhempas di kawasan pergunungan di timur
negara itu, hari ini mengorbankan 77 orang dengan seorang terselamat.
Pusat kawalan trafik udara gagal
mengesan pesawat daripada radar dan perhubungan radio dengan pesawat
C-130 Hercules buatan Amerika Syarikat pada tengah hari sebelum
heiekopter dikerah menjalankan operasi mencari.
Pesawat berkenaan akhirnya ditemui
terhempas di Gunung Fortas berdekatan pekan Ain Kercha, 50 kilometer di
barat daya Constantine, bandar utama di sebalah timur Algeria.
Ketika nahas, pesawat dalam pernerbangan
ke Constantine dari Tamanrasset yang kini dalam operasi ketenteraan
besar-besaran berikutan keadaan tidak stabil di sempadan selatan negara
itu.
Pesawat berkenaan membawa 74 penumpang dan empat anak papal, kata tentera Algeria dalam satu kenyataan.
Nahas dipercayai berlaku akibat cuaca buruk.
Satu-satunya penumpang yang terselamat
setakat ini ialah seorang anggota tentera yang hanya mengalami
kecederaan di kepala dan kini dirawat di hospital tentera.
Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam
Algeria berkata, pesawat berkenaan patah tiga dengan wanita dan
kanak-kanak antara yang maut.
Menjadi satu kebiasaan pesawat
pengangkut tentera Algeris digunakan bukan saja untuk membawa anggota
tentera, malah anggota keluarga mereka, termasuk orang awam.
Komander tentera Farid Nechad, yang
mengetuai pasukan penyelamat berkata, setakat ini 55 mayat sudah ditemui
di tempat nahas namun cuaca sejuk dan terdapat salji menyukarkan
operasi. – AP