KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan dan lima tahun mati dipercayai dikelar pembantu rumah mereka sebelum dia membunuh diri di Taman Sri Putra, Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritenden Junaidi Bujang berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar pukul 8 pagi hingga 6 petang ketika ibu bapa dan anggota keluarga lain tiada di rumah berkenaan.
“Kejadian itu diketahui kira-kira pukul 6 petang selepas nenek mangsa pulang ke rumah. Dia menjumpai mayat cucunya yang berusia setahun enam bulan dan pembantu rumah warga Indonesia di bilik pembantu rumah.
“Seorang lagi cucunya yang berusia lima tahun dijumpai di tingkat atas,” katanya.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati pembantu rumah berusia 30 tahun yang bekerja hampir dua tahun itu dipercayai membunuh kedua-dua kanak-kanak itu sebelum membunuh diri dengan mengelar lehernya.
Junaidi berkata, tiada sebarang kesan pecah masuk dan empat anjing peliharaan keluarga berkenaan tidak menyalak ketika kejadian berlaku.
“Ketiga-tiga mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kita juga menjumpai tiga bilah pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh,” katanya. – Bernama