ISU pergaduhan antara pelakon Sharnaaz Ahmad dan pasangan suami-isteri, Fauzi Nawawi dan Lisdawati ternyata masih lagi hangat diperkatakan.
Jika Sharnaaz mengatakan tuduhan pasangan tersebut sebagai mengarut, Fauzi pula berkata, mereka bukanlah mahu mencari publisiti murahan, memetik Sinar Harian.
“Saya bukannya artis yang memerlukan kontroversi untuk dikenali. Saya dah berkecimpung dalam industri hampir 18 tahun dan saya tak perlukan kontroversi. Malah saya mahu lari dari kontroversi.
“Namun tindakan Sharnaaz menengking dan menyerang Lisda di lokasi agak keterlaluan, apatah lagi Lisda kini sedang mengandung. Laporan polis yang dibuat adalah bertujuan untuk melindungi diri dan memudahkan saya membawa Lisda menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital akibat tindakan Sharnaaz itu.
“Dan keputusan pemeriksaan memang sudah dijangka apabila doktor mengesahkan tekanan darah Lisda naik susulan kejadian itu. Sebagai suami dan bapa tentulah saya risau dengan keadaan isteri dan anak dalam kandungan tersebut,” katanya.
Pada masa yang sama, Fauzi turut berpesan kepada Sharnaaz supaya tidak terus bersikap ego untuk kebaikannya.
Sementara itu, menerusi akaun Twitternya, Sharnaaz dilihat mengemaskini beberapa status tertentu yang mungkin merujuk kepada kejadian tersebut.
Bagaimanapun, ia disampaikan secara agak berkias dan hanya empunya diri sahaja lebih mengerti maksudnya.
Apa pun, kami harapkan segalanya dapat diselesaikan dengan baik dan tak perlulah hingga naik turun mahkamah pula.
Industri hiburan kita kecil sahaja, pusing-pusing berjumpa juga…
Oleh: ELZA