PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz
Ahmad menganggap kenyataan Lisdawati yang mendakwa diserang sehingga
menyebabkannya mengalami tekanan darah tinggi adalah tuduhan mengarut.
Sharnaaz atau
nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, berkata, dia enggan mengulas
panjang berhubung perkara tersebut namun menganggap Lisdawati bersama
suaminya, Fauzi Nawawi sengaja memanipulasi keadaan apabila mengeluarkan
tuduhan sedemikian.
“Mereka memang sengaja memanipulasikan keadaan. Biarlah apa mereka nak cakap… cakaplah.
“Buat masa ini saya tidak mahu
beritahu apa-apa. Tunggulah… bila saya bersedia untuk menjawab persoalan
semua,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang
Isnin.
Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan
Sharnaaz telah menyerang Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama
Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari
lalu.
Lisdawati bersama suami dan anak mereka.
Lisdawati bersama suami dan anak mereka.
Peristiwa itu menjadi tegang apabila suami Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi, 40, dikatakan menerima khidmat ringkas (SMS) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.
Lisda mendakwa mengalami darah tinggi
akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai
Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.
Sementara itu, Shaarnaz menambah, dia
tidak gentar dengan laporan polis dibuat mereka kerana dia percaya
berada di pihak yang benar.
“Senang saja. Kalau dia main cara polis, kita pun main cara polis,” ujarnya dalam nada tegas.
Lisdawati yang dihubungi mStar Online
pada Isnin pula berkata, sebagai ibu mengandung, dia tidak mungkin akan
memanipulasikan keadaan kerana dirinya sememangnya diserang Sharnaaz
secara mengejut.
“Buat apa saya nak manipulasikan
keadaan. Dia yang mula dulu. Saya pun terkejut. Kalau tak percaya,
tanyalah pelakon-pelakon yang ada pada kejadian itu. Saya tak sangka dia
berperwatakan begitu,” tuturnya yang mengandung lapan bulan. – mStar Online