STOCKHOLM – SWEDEN. Hari ketujuh perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa di Mahkamah Daerah Solna atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga tahun 2013 hari ini menyaksikan giliran Azizul dipanggil memberikan keterangan.
Azizul yang memakai baju kemeja berwarna hijau lengkap bertali leher dan berkot hitam dipanggil bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa sebaik sahaja Mahkamah bermula pada jam 9 pagi.
Perbicaraan yang dijalankan dalam Bahasa Sweden dengan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa itu dimulakan dengan Azizul diminta untuk menceritakan mengenai latar belakangnya bermula dengan diri, keluarga, isteri dan anak-anaknya.
Beliau yang ditahan reman sejak 18 Disember tahun lalu sempat berkongsi saat manis menceritakan bagaimana isterinya, Shalwati menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap pagi dengan menaiki pengangkutan awam.
Saat ditanya adakah dia pernah melakukan kekerasan terhadap empat orang anaknya, Azizul menafikan perkara tersebut. Azizul yang mengaku mengamalkan cara didikan tegas bagaimanapun berkata dia telah mengurangkan ketegasan tersebut sewaktu berpindah ke Sweden kerana dikejutkan dengan situasi sedih yang berlaku sewaktu mendaftarkan persekolahan anak ketiganya, Adam.
Mengulas mengenai insiden tersebut, Azizul kedengaran tersekat-sekat sambil ada ketikanya menundukkan muka sementara Shalwati yang memakai baju dan tudung berwarna merah dilihat mula mengesat air mata.
Seluruh mahkamah juga merasa hiba apabila Azizul menerangkan dia terkesan dengan situasi yang mana Adam tidak dibenarkan untuk didaftarkan di sekolah biasa sebaliknya diminta ke sekolah khas (slow learner) akibat daripada disleksia yang dialaminya.
Azizul yang menggelar Adam sebagai ‘streetsmart’ mengatakan akibat insiden itu, dia mengurangkan ketegasan bagi mengelakkan tekanan terhadap anak-anaknya terutamanya Adam.
Saat ditanya mengenai insiden-insiden pukulan yang didakwa dilakukan oleh beliau, Azizul menafikan ada memukul anak-anaknya di muka, belakang badan dan tangan sebaliknya menyatakan dia hanya memberikan pukulan ringan sebagai pengajaran kepada anak-anaknya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dan bukannya berniat mencederakan atau mendatangkan kesakitan.
Azizul yang ditanya berkaitan empat insiden di mana dia dikatakan memukul anak-anaknya menerangkan insiden pertama berlaku ketika di meja makan sewaktu menikmati makan malam yang mana Azizul berkata ianya adalah mustahil untuk beliau memukul Ammar ketika itu kerana tempat duduk anak keduanya itu berhadapan dengannya dan kedudukan itu tidak memungkinkan Ammar dipukul.
Insiden kedua pula dikatakan berlaku apabila Azizul menggunakan rotan sewaktu mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran. Azizul menegaskan ianya tidak berlaku kerana kayu nipis yang dikatakan sebagai alat memukul itu hanya digunakan sebagai penunjuk dan jika digunakan untuk memukul sekalipun, ia tidak mendatangkan kesakitan atau kesan.
Selain itu, terdapat juga insiden yang berlaku di dalam kereta di mana Azizul dikatakan memukul Ammar yang bertengkar dengan Aisyah sewaktu dalam perjalanan ke sekolah. Azizul menafikan kejadian tersebut dengan menceritakan dia hanya menyentuh bahu Ammar dan memintanya berhenti berbalah dengan kakaknya.
Sewaktu kejadian itu, Azizul yang sedang memandu terdengar anak-anaknya bertengkar apabila Ammar yang duduk di bahagian depan menggerakkan kerusinya jauh ke belakang mengakibatkan Aisyah yang duduk di tempat duduk belakang tersepit. Aisyah yang beberapa kali meminta Ammar membetulkan kerusinya tidak dihiraukan menyebabkan Azizul menghalang dan meminta Ammar untuk membetulkan kerusinya.
Pegawai Pendakwa yang sentiasa cuba membuktikan Azizul ada memukul anaknya ketika ini bertanya mengenai kejadian Ammar dipukul semasa hari halloween. Azizul yang kelihatan tenang bagaimanapun menjawab mereka tidak menyambutnya kerana ia tidak dibenarkan di dalam Islam. Oleh itu, dia tidak tahu bilakah hari tersebut selain menyatakan kejadian ini tidak pernah berlaku.
Ketika ditanya bagaimana dia menzahirkan perasaan marah, Azizul menjelaskan kebiasaannya dia akan meninggikan suara selain membuat bunyi sama ada mengetuk meja atau tangga. Ada ketikanya dia turut memutuskan talian internet dan membuat kiraan sebagai amaran kepada anak-anaknya.
Perbicaraan bersambung 5 Februari 2014. – SINAR HARIAN