SEREMBAN – Seorang banduan akan menjalani hukuman penjara 56 tahun setelah Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhkan hukuman tambahan penjara lagi 10 tahun di atas kesalahan melakukan rompakan yang dilakukannya pada 11 Ogos 2010.
Tertuduh, Tan Fui Sheong, 48, ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 46 tahun di penjara Kajang, atas 10 kesalahan lampau yang dilakukannya di negeri Pahang, Perak dan Seremban.
Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh berkata, berdasarkan rekod lampaunya, tertuduh mempunyai kesalahan jenayah yang sangat banyak dan hukuman yang berat harus dikenakan terhadap tertuduh agar ianya menjadi pengajaran kepada masyarakat.
“Setelah meneliti kesalahan lampau dan mengambil pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan lima kali sebatan.
“Kedua-dua hukuman ini hendaklah dijalankan selepas hukuman yang tertuduh jalani sekarang ini selesai,” katanya.
Walau bagaimanapun, rakan subahatnya, Lee Kok Keong, tidak mengaku bersalah dan mohon untuk dibicarakan. Hakim kemudiannya menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula.
Terdahulu, mengikut fakta kes, kira0kira jam11.30 pagi, semasa pengadu dan adiknya berada di kedai Shine Look Optical Taman Rasah Jaya, mereka didatangi dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan.
Kemudian pada jam 1.30 petang, semasa tiada pelanggan di dalam kedai berkenaan, kedua-dua suspek ini mengeluarkan dua bilah parang dari arah belakang badan salah seorang daripada mereka, sebelum melakukan rompakan.
Semasa kejadian, mereka mengarahkan pemilik kedai dan adiknya masuk ke dalam bilik pemeriksaan mata sebelum menyuruh membuka baju dan seluar serta menyerahkan telefon bimbit mereka.
Seorang daripada mereka membuka laci di kedai berkenaan dan mengambil wang RM5,000, 10 unit cermin mata dan sebuah GPS Garmin, sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Abu Hassan Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian Online