Panas ! Kecil-Kecil Dah Tau Ambil Pil Kuda, Baru Umur Setahun Jagung (13Thn)

1


KOTA BHARU – “Saya mula berjinak-jinak dengan pil kuda sejak berusia 13 tahun lagi atas pengaruh rakan,” kata seorang pelajar dikenali Syafiq, 17, yang juga pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di daerah ini.
Syafiq berkata, selepas diperkenalkan dengan pil tersebut yang pada mulanya diambil untuk suka-suka, akhirnya ia menjadi rutin.
“Sebelum ini, ibu dan ayah tidak tahu saya ambil pil tersebut kerana saya selalu menghabiskan masa dengan rakan melepak sehingga lewat malam.
“Ibu tidak pernah syak pada mulanya sehinggalah saya ditahan polis tahun lalu ketika pulang ke rumah pada jam 1 pagi. Polis membuat pemeriksaan berdekatan rumah dan saya tertangkap kerana berada di bawah pengaruh pil tersebut,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, disebabkan pengaruh dadah yang begitu kuat, dia sanggup melakukan kerja sambilan dengan mengambil upah menyelek pintu bagi binaan rumah baharu dan hasil gaji diperoleh digunakan untuk membeli pil kuda.
“Saya mula khayal dengan sebiji pil berharga RM15 dan seronok dalam dunia sendiri serta lupa segala-galanya termasuk mengabaikan pelajaran.
“Namun selepas ditahan polis, saya mula menjauhkan diri daripada bahan terlarang, malah tidak lagi melepak dan menghabiskan masa bersama rakan sehingga lewat malam,” katanya yang mengakui menyesal dengan perbuatan sia-sianya itu dan berharap akan lebih fokus dalam pelajaran, seterusnya mencapai kejayaan.
Syafiq merupakan antara 200 pelajar yang terpilih menyertai Seminar Kecemerlangan Pelajar di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini.
Pada program itu, pelajar terlibat diberikan taklimat dan kesedaran mengenai bahaya penglibatan dalam kancah dadah termasuk peranan remaja supaya tidak terjebak.
Hadir merasmikan majlis, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Sementara itu, menurut seorang lagi pelajar yang dikenali sebagai Nur, 17, dia mula terlibat dalam gejala ponteng sekolah sejak tahun lalu.
“Perasaan ingin mengikut rakan mencuba sesuatu yang baharu membuatkan saya mula ponteng sekolah dan seronok melakukan aktiviti tersebut.
“Saya keluar dari rumah dengan pakaian sekolah tetapi tidak ke sekolah, sebaliknya duduk di kawasan padang dan menghabiskan masa sehingga tamat waktu sekolah,” katanya.
Namun katanya, selepas menerima kaunseling daripada guru dan mengikuti taklimat berkenaan, dia insaf serta tidak lagi ponteng sekolah.
“Saya menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi. Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya. – Sinar Harian