Seorang bapa di Yingkou, Liaoning, China didenda selepas didapati bersalah membenarkan anak perempuannya yang baru berusia 9 tahun memandu kenderaan di jalanraya yang sibuk.
Kesalahan itu disedari polis apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) didapati dipandu secara perlahan di Jalan Qinghua, 25 Februari lalu.
Selepas ditahan, anggota polis yang bertugas terkejut apabila mendapati ia dipandu seorang kanak-kanak dengan bapanya duduk di sebelah manakala si ibu berada di tempat duduk belakang.
Bapa yang dikenali sebagai Tang memberitahu polis, mereka dalam perjalanan ke hospital dan dia tidak dapat memandu kerana menghadapi masalah kesihatan.
Dia menambah, anaknya itu sudah beberapa kali belajar memandu di rumah dan mampu mengendalikan kereta dengan baik.
Mengikut undang-undang di China, pemilik kenderaan boleh dikenakan denda hingga 2,000 Yuan (RM1068) bagi kesalahan membenarkan kenderaan dipandu individu yang tidak berlesen.
Umur minima untuk memohon lesen memandu di China adalah 18 tahun. – REM RAMZI
Sumber: Global Times China