Tak Mengaku Sebabkan Kematian Isteri

Warga Myanmar Tak Mengaku Sebabkan Kematian Isteri
ALOR SETAR – Seorang buruh warga Myanmar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya, seorang rakyat Indonesia hujung bulan lepas.
Masali Abdul Sukor, 39, didakwa menyebabkan kematian Elna Reti Anfal, 30 pada jam 1.30 pagi, 26 Januari lepas di sebuah rumah di Kampung Imam, Jitra.
Pertuduhan terhadapnya adalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
Bagaimanapun Masali yang tidak diwakili peguam merayu kepada Hakim Azhar Mokhtar supaya dia dibenarkan diikat jamin kerana dia mempunyai tujuh orang anak untuk dijaga menerusi tiga perkahwinan, termasuk empat bersama mangsa.
Di mahkamah yang sama, Masali juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki sebilah pedang samurai tanpa kebenaran, pada jam 11.30 pagi, 24 Julai tahun lepas di rumah kedai Kyaw Myanmar Store, No. 179B, Tingkat Atas, Jalan PJ 2, pekan Jitra.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Azhar tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan kedua-dua kes. – BERNAMA