KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang sering membawa naik motosikal miliknya ke tingkat 14, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi, di sini terbongkar apabila dia terserempak dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang melakukan lawatan mengejut di kediaman itu.
Dalam insiden jam 11 malam Jumaat lalu, lelaki berusia lewat 20-an sedang menunggu lif untuk membawa turun motosikalnya sebelum ke tempat kerja.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, hasrat lelaki berkenaan bagaimanapun terbantut kerana lif sama digunakan rombongan lawatannya bersama persatuan penduduk ke blok berkenaan.
Menurutnya, lelaki yang juga penghuni di situ pada mulanya dilihat tidak tentu arah dan cuba melarikan diri namun tidak mampu berbuat apa-apa dengan keadaan masih menunda motosikal.
“Seperti biasa alasan yang diberikan adalah takut motosikal hilang kerana baru beli.
“Namun saya katakan kepadanya, orang lain juga ada kebimbangan yang sama, namun masih boleh letakkan motosikal di bawah. Tindakan bawa naik motosikal guna lif ini boleh menyebabkan kerosakan dan menyusahkan ratusan penghuni lain.
“Dia akhirnya akur dengan kesalahan dan memohon maaf berkali-kali,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, pemuda berkenaan boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM300 atas kesalahan tersebut.
“Kita berikan amaran keras kepadanya agar tidak mengulangi tindakan itu. Namun jika didapati dia masih membuat tindakan sama, tindakan pembatalan perjanjian sewa dengan DBKL akan dibatalkan,” katanya.
Wan Mohammad Ghazali berkata, pihaknya kini telah menempatkan penguatkuasa bagi mengawal kawasan perumahan DBKL termasuk mendapat kerjasama persatuan penduduk dan pihak rukun tetangga kawasan.
“Kawalan dan pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa mengelakkan sebarang kejadian kecurian dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini DBKL pernah menamatkan perjanjian sewa penghuni Perumahan Awam (PA) Desa Rejang yang kantoi membawa naik motosikal menggunakan lif.
Tindakan itu menyebabkan lif rosak dan penghuni berkenaan tersekat dalam lif.
Takut terpaksa membayar ganti rugi, penghuni berkenaan bersama ahli keluarga lain bertindak keluar melarikan diri dari unit rumah mereka menyebabkan DBKL akhirnya mengambil tindakan sita unit. – SINAR HARIAN