KUALA TERENGGANU – Pemain Islam pasukan T-Team bersedia mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran seperti yang diminta oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berhubung insiden di Larkin, Johor Baharu baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata kesemua pemain itu bersedia mengangkat sumpah itu pada bila-bila masa.
“Kita masih menunggu tarikh sesuai untuk mengangkat sumpah Al-Quran berkenaan. Kesemua pemain bersedia melakukan perkara itu pada bila-bila masa,” katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat, Menteri Besar Terengganu itu meminta para pegawai dan pemain T-Teammengangkat sumpah Al-Quran berhubung insiden pada perlawanan Piala FA ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu pada 1 Feb lepas.
Ab Rasid berkata T-Team juga akan memberi tumpuan kepada saingan Liga Super selepas ini.
“Sudah pasti kita akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan Liga Super.Bahkan kita akan bermain bersungguh-sungguh dalam memastikan dapat menyaingi pasukan lain untuk memperbaiki kedudukan Liga Super,” katanya.-BERNAMA