ROMPIN – Tindakan pantas seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengejutkan ibu bersama adiknya yang sedang tidur dalam bilik di rumah mereka berjaya menyelamatkan keluarga itu daripada rentung dalam kejadian kebakaran di penempatan Program Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Penyabong, Endau, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang itu turut memusnahkan hampir keseluruhan rumah milik Abdul Halim Ponggulin Abdullah, 41, dan pasangannya Nora Taha, 31.
Difahamkan, anak lelaki sulung pasangan berkenaan, Haris, telah mengesan api yang bermula dari bilik tengah rumah itu dan bertindak pantas mengejutkan ibu serta adiknya, Hakim, 3, sambil menjerit meminta tolong.
Ketika kejadian, Abdul Halim yang juga saudara baru itu tiada di rumah kerana keluar melihat bubu ikan yang dipasang di sekitar pantai Penyabong.
Menurut Nora, sebaik dikejutkan anak sulungnya itu dan memberitahu bahawa bilik di bahagian tengah rumah terbakar, dia terus bergegas keluar menyelamatkan kedua anak lelakinya.
“Mujur tindakan pantas Haris mengejutkan saya sebaik terhidu bau asap berjaya menyelamatkan kami sekeluarga. Saya juga cuba menyelamatkan barang serta dokumen penting yang lain namun hanya sebiji tong gas dan injin bot berjaya diselamatkan, manakala peralatan lain semua hangus terbakar.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, tambahan pula api marak dengan cepat pada masa itu dan saya hanya mampu menangis mengenangkan nasib menimpa kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Nora berkata, ketiadaan suaminya ketika kejadian menyebabkan dirinya buntu manakala jiran yang cuba membantu tidak berjaya mengawal api daripada memusnahkan rumah.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan 1, Sulong Khaled, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Sebaik tiba, api sudah mula marak dan sebahagian besar rumah sudah terbakar, namun kami berjaya mengawal api dari merebak dalam masa 15 minit sebelum berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran kira-kira 85 minit kemudian,” katanya.
Beliau berkata, punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. - Sinar Harian