Rangkuman Minggu Ke-2 MH370 - Disahkan (Dikesan Radar) Penerbangan Tidak Dikenali Adalah MH370

www.mynewshub.my KUALA LUMPUR — Operasi mencari dan menyelamat (SAR)
pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang masuk minggu
kedua, dengan pengesahan bahawa penerbangan yang tidak dikenali sebelum ini
dikesan radar utama adalah Penerbangan MH370.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan akhbar di
Sepang hari ini bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asalnya menuju
Beijing, China, dan terus hilang sejak Sabtu lepas.

Sekalipun laporan media menyatakan pesawat itu telah dirampas, Najib
menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan tentang apa
yang menyebabkan Penerbangan MH370 itu melencong.

Pihak berkusa dan pasukan penyiasat telah juga mendapat data baru
berhubung komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit, dan ini membuka fasa
baru operasi mencari, termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan
mengkaji semula kerahan aset.

Hasil siasatan itu dipersetujui Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA),
dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kedua-duanya berpangkalan
di AS; Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom; dan pihak
berkuasa Malaysia, yang menyiasat berasingan terhadap data yang sama.

Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya
memutuskan bahawa komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit adalah di satu
daripada dua koridor yang mungkin – utara atau selatan.

Yang pertama, koridor utara meliputi kawasan kira-kira antara sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan hingga bahagian utara Thailand; atau kedua, koridor
selatan meliputi kawasan kira-kira antara Indonesia hingga bahagian selatan
Lautan Hindi.

Najib juga mendedahkan menurut data baru, komunikasi terakhir antara pesawat
itu dengan satelit ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia 8 Mac, Sabtu.

Berikutan itu juga, pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan
terhadap kru dan penumpang.

Setakat hari ini, 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi
mencari.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan media
antarabangsa bahawa Malaysia tidak prihatin terhadap keluarga penumpang MH370
dan kerana itu tidak menghantar wakil ke China.

MAS, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata ia terus komited
sepenuhnya memperkongsikan informasi yang sahih dengn anggota keluarga dan orang
ramai secara yang cukup terbuka dan telus berhubung kehilangan pesawat
berkenaan.

Namun, memandangkan keadaan situasi, MAS berkata pentingnya mengesahkan
maklumat baru sebelum disiarkan kepada khalayak ramai amat diutamakan.

Ia berkata prioriti mutlak MAS pada setiap masa ialah membantu pihak
berkuasa yang mengetuai operasi pelbagai negara mencari pesawat berkenaan supaya
mereka akhirnya dapat memberikan jawapan yang begitu ditunggu-tunggu oleh
keluarga berkenaan dan orang ramai.
BERNAMA