Pelik - Seorang Lelaki Warga Emas Memaku Kepalanya Sendiri, Entah Apa Tujuanya ?

Paku


Fujian – Seorang lelaki yang mendakwa memaku kepalanya sendiri dengan tiga paku berukuran 10 sentimeter terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan paku itu dari tempurung kepalanya.
Lelaki berusia 69 tahun dan berasal dari wilayah Fujian itu dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu dan menjalani rawatan sejak hujung tahun lalu.
Dia yang mendakwa melakukan perkara itu sendiri dan merayu pihak hospital tidak melaporkan kecederaannya itu kepada polis.
Doktor percaya perkara itu dilakukan orang lain ke atasnya memandangkan kecederaan yang dialami.
Doktor berjaya mengeluarkan paku itu melalui pembedahan dan lelaki berkenaan terpaksa menjalani rawatan selama tiga bulan di hospital sebelum dibenarkan keluar Khamis lalu selepas doktor mendapati dia sembuh sepenuhnya.
Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di China. Dalam satu kes awal tahun ini, doktor mengeluarkan paku berukuran tujuh sentimeter dari tempurung kepala seorang lelaki di Nanjing.
Menurut laporan, paku itu tertusuk di kepala Yang, 55, akibat kemalangan yang berlaku ketika dia menghias rumah.
Bagaimanapun, dia tidak menyedari perkara itu sehingga dia merasa kesakitan keesokan harinya.
Yang dilaporkan sembuh sepenuhnya dan tidak mengalami sebarang gangguan pada penglihatan atau kerosakan saraf.- Daily Mail