KUALA TERENGGANU – Sebelum ini,
dia pernah digelar ‘Spiderwoman’ selepas tindakan nekadnya memanjat
tingkat tiga sebuah asrama sekolah menengah di bandar raya ini
semata-mata ingin mencuri kabel besi tembaga.
Susulan perbuatan itu, dia telah
dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM1,500, namun ibu beranak
satu itu seolah-olah tidak pernah serik apabila memecah masuk pula rumah
milik seorang warga emas di Jalan Haji Abdul Rahman Limbong Kuala Ibai,
di sini, jam 11 malam, 17 Februari lalu.
Wook@ Murniyati A Rahman, 34, dari
Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal, di sini, mengaku salah
melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana
pecah rumah semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.
Wook mengaku salah melakukan pecah rumah
dengan memasuki rumah milik seorang warga emas, Arisah Abdullah, 62,
sebelum mencuri pelbagai jenis barangan seperti sebuah televisyen
Samsung 42 inci, gelombang mikro jenama Vidigo, pengisar roti, pakaian
dan beg pakaian, enam keping permaidani, set pinggan mangkuk, cadar dan
langsir, kerusi lipat plastik, kain samping benang emas, mesin senaman
jenama Osim dan pembesar suara.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Wook tidak diwakili peguam.
Terdahulu dalam rayuannya, Wook merayu
mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa dia terpaksa
melakukan jenayah itu kerana memerlukan wang untuk menyara anak dan ibu
yang sudah uzur.
Berdasarkan fakta kes, mangsa
meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik jam 11 pagi pada 1 Disember
tahun lalu untuk ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu,
mangsa menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumahnya
dipecah masuk dan mangsa yang tiba di rumahnya pada keesokan harinya
mendapati pelbagai jenis barangan hilang sebelum membuat laporan polis. - Sinar Harian Online