Sepanjang minggu ini, industri hiburan tanah air dihangatkan dengan kisah kontroversi pergaduhan di antara pelakon Sharnaaz Ahmad dengan pasangan suami isteri, Lisdawati Nazaruddin dan Fauzi Nawawi.
Insiden ini mula mendapat perhatian apabila Lisdawati mendedahkan kepada pihak media mendakwa dia telah diserang oleh Sharnaaz ketika di lokasi penggambaran drama bersiri lakonan mereka, Bukan Kerana Aku Tak Cinta (BKATC) di Kuang, Sungai Buloh pada 19 Februari lalu.BACA: Fauzi, Lisdawati Dakwa Diugut & Dimaki Sharnaaz
BACA: ”Tuduhan Lisdawati, Suami Mengarut” – Sharnaaz Jawab Balik
BACA: Fauzi Nawawi Pesan Supaya Sharnaaz Tidak Ego
BACA: Fauzi Nawawi Enggan Minta Maaf
BACA: Video: Sharnaaz Sudah ‘Hangin’ Satu Badan!
BACA: Rasa Tercabar, Sharnaaz Buat Pemeriksaan Otak!
Selang dua hari kemudian, Lisdawati turut mendakwa pelakon utama BKATC itu membuat cubaan menyerangnya ketika dia baharu sahaja sampai ke lokasi penggambaran namun dia bernasib baik kerana masih belum keluar dari kereta ketika itu.
Berikutan insiden itu, Lisdawati dan Fauzi telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, selain Fauzi mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada aktor kelahiran Pulau Mutiara itu.
Pada mulanya, Sharnaaz tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun selepas melihat pelbagai pendedahan berkaitan isu itu oleh Lisdawati dan Fauzi, Sharnaaz terus menjelaskan secara terperinci bagaimana kekecohan tersebut boleh berlaku.
Menerusi video yang direkodkan Harian Metro, Sharnaaz menjelaskan dia membuat kesilapan kerana telah menengking Lisdawati namun dia mengatakan tindakannya itu adalah bersebab.
Perkataan yang digunakan Sharnaaz ketika menengking aktres itu adalah, “diamlah kakak” selepas dirinya dihina dengan pelbagai kata kurang elok oleh Lisdawati, sebelum itu.
Namun, tidak semena-mena, Sharnaaz menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Fauzi yang agak kasar apabila melibatkan mak Sharnaaz dalam perkara tersebut selain mengelarnya sebagai ‘anjing kurap’.
Bertitik tolak dari situ, Sharnaaz telah mengambil keputusan untuk menyaman malu Lisdawati dan suami, sekiranya mereka tidak meminta maaf kepadanya dalam tempoh seminggu yang diberikan.
Menjawab respons tersebut, Fauzi pula tampil memberikan kenyataan kepada media, bahawa dia tidak akan meminta maaf malah turut menyarankan Sharnaaz melakukan pemeriksaan kesihatan otak kerana dibimbangi menghidap penyakit mental.
Tercabar dengan perkara itu, Sharnaaz hari ini tampil mendedahkan gambarnya yang baharu sahaja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan otak (MRI) di sebuah pusat perubatan.
Nampaknya, adakah perkara ini akan semakin berpanjangan atau pun akan ada juga pihak yang mengalah nanti?
Atau apa pula kenyataan yang bakal keluar dari mulut mereka bertiga berhubung isu ini?
Untuk makluman anda, Lisdawati dan Fauzi dijadualkan bakal menjalani ibadah umrah bermula pada esok hari.
Sama-sama kita nantikan.
Oleh: JULIANA JOHAR