BESUT – Seorang pelajar Tingkatan
Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut tertelan
jarum peniti ketika sedang mencungkil makanan di celah-celah gigi di
kantin sekolahnya, pada Rabu.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Alif
Aiman Zulkifli tertelan jarum itu selepas makan di kantin sekolahnya
kira-kira 1 tengah hari.
Ketika ditemui di Hospital Besut pada
Khamis, ibunya Zawahir Mustafa, 40, berkata dalam kejadian itu anaknya
menggunakan jarum peniti yang dijumpai di sekolah untuk mencungkil sisa
makanan selepas makan di kantin.
Katanya, ketika dia sedang leka
mencungkil giginya tiba-tiba datang seorang rakannya berbual-bual
dengannya apabila dengan tiba-tiba jarum peniti yang dipegangnya itu
terlepas dan masuk ke dalam tekaknya.
“Anak saya berasa sakit dan suaranya
mula hilang hingga menyebabkan rakannya memberitahu kepada gurunya yang
kemudiannya membawanya ke hospital,” katanya.
Menurut Zawahir selepas dirawat selama
sejam keadaan anaknya mula stabil dan boleh bercakap tetapi jarum peniti
itu masih belum dapat dikeluarkan.
Menurut doktor sekiranya jarum peniti
itu masih tidak dapat dikeluarkan sehingga Sabtu ini, anaknya akan
dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Dua minggu lepas, pelajar Tingkatan Satu
SMK Bukit Payong tertelan jarum peniti tetapi pulih apabila jarum itu
dapat dikeluarkan selepas dua hari beliau menerima rawatan di Hospital
Besut. – BERNAMA