PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan tiada sebarang campur tangan politik berhubung kes dua bekas pegawai menteri yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-dua mereka yang belum didakwa masih dalam siasatan SPRM, untuk mendapatkan bukti yang kukuh, katanya.
“Ramai yang mendesak saya termasuk orang kenamaan serta wakil rakyat dari parti pembangkang berhubung kes tersebut, ada yang mendesak supaya tuduh ada juga yang minta supaya kes itu tidak perlu dituduh.
“Jika saya biarkan diri saya dipengaruhi campur tangan politik, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa kecuali diri saya kerana itu salah saya,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Pengerusi Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaaffar bagi membincangkan perkara itu di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Gani juga meminta semua pihak supaya memberi masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terperinci.
Sementara itu, Johan ketika ditanya mengenai kenyataan peguam negara itu, berkata beliau berpuas hati kerana sebelum ini spekulasi bertiup kencang mengenai campur tangan politik atau pendakwaan terpilih berhubung perkara itu.
“Saya yakin peguam negara telah jalankan kerjanya dengan baik dan semua tindakannya berdasarkan fakta yang ada pada masa ini,” katanya.
SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk, dan pengarah sebuah daripada yayasan yang diketuai oleh Datuk berkenaan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta.
Kedua-dua mereka diberkas SPRM dan dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 seorang.
Menurut SPRM, ketiga-tiga yayasan itu ditubuhkan antara 1980-an dan 2011 tetapi tidak didaftarkan sebagai pertubuhan kebajikan atau persatuan, sebaliknya ia beroperasi sebagai syarikat.
SPRM menyatakan kedua-dua mereka memegang jawatan sebagai pengarah dan anggota Lembaga Pemegang Amanah ketiga-tiga yayasan berkenaan. BERNAMA