PETALING JAYA – Konflik terbuka
dua pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor makin
berpanjangan apabila Mohamed Azmin Ali menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim bertindak melanggari undang-undang dalam isu penamatan kontrak
22 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd
(PHSB).
Lebih mengeruhkan keadaan apabila
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa Abdul Khalid
menggunakan PKNS sebagai ‘senjata politik’ terhadap musuh politiknya.
“Pemecatan secara tiba-tiba
kakitangan PHSB di bawah perintah Menteri Besar bukan sahaja melanggar
undang-undang pekerjaan tetapi terlalu tidak berperikemanusiaan.
“Demi kepentingan keadilan dan
tadbir urus yang baik, Tan Sri Abdul Khalid mesti berhenti menggunakan
PKNS sebagai senjata peribadi terhadap pesaing politiknya,” katanya
menerusi kenyataan pada Jumaat.
Selasa lalu PHSB memecat 22 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin.
Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak
syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan
dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.
Sebelum ini wujud dakwaan bahawa Mohamed
Azmin terlibat dalam pelantikan kakitangan PHSB yang dibuat tanpa
mengikut prosedur dan menerima gaji yang tinggi.
Selain itu Mohamed Azmin yang sebelum
ini turut digugurkan daripada ahli lembaga pengarah PKNS menggesa Abdul
Khalid selaku pengerusi perbadanan itu membatalkan pemecatan 22
kakitangan PHSB itu.
“Ia benar-benar bercanggah dengan
prinsip yang didukung oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bahawa semua
pekerja perlu dilayan dengan bermaruah.
“Saya menyeru pihak berkenaan
membatalkan dengan segera surat pemecatan dan meminta maaf kepada rakyat
Selangor berhubung tindakan yang tidak bertimbang rasa ini,” katanya. - mStar Online