KUALA TERENGGANU – Keberanian kanak-kanak berusia lima tahun menyelamatkan adiknya dalam kebakaran tahun lalu mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu hari ini.
Mohd Syawal Mohd Shukri yang kini berumur enam tahun menerima sijil penghargaan dan pakaian seragam bomba daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Md Salleh Sarbini sempena perbarisan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu di sini.
Md Salleh Sarbini berkata, pihaknya kagum dengan keberanian Mohd Syawal untuk menyelamat nyawa adiknya walaupun ketika itu kediaman mereka marak dijilat api.
“Keberaniannya boleh menjadi contoh kepada masyarakat sekiranya turut ditimpa insiden seumpama itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Md Salleh Sarbini (Dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada adik, Mohd Syawal Mohd Syukri, 5 di temani bapanya, Shukri Mohd Nor, 47 (Kiri).
Katanya, walaupun ketika kejadian umurnya baru mencecah lima tahun namun hero cilik itu mampu berfikir dan bertindak bijak dengan menarik adiknya keluar selepas menyedari kebakaran itu.
Dalam kejadian 3 Ogos lalu Mohd Syawal berjaya menyelamatkan adiknya yang berusia empat tahun ketika mereka sedang bermain di dalam rumah sebelum ternampak api muncul dari bilik dan dapur kira-kira jam 11.30 pagi.
Anak sulung dari tiga beradik itu memberanikan diri mengeluarkan Mohd Syakir dan membawanya ke rumah nenek mereka yang terletak berhampiran rumah mereka.
Md Salleh berkata, JBPM juga sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan menerusi penubuhan Kelab Keselamatan Kanak-Kanak (3K) dari peringkat tadika sejak 10 tahun lepas.
Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Mohd Shukri Mohd Nor, 37, turut melahirkan rasa bangga terhadap anak sulungnya itu yang menurutnya bercita-cita menjadi pegawai bomba.
Beliau yang bekerja sebagai buruh berkata, sebelum kejadian itu dia tidak pernah meninggalkan anaknya bersendirian di rumah namun pada hari berkenaan dia dan isterinya Huslina Abd Rahman, 26, ingin membeli keperluan untuk menyambut hari raya. – BERNAMA