NGO Pendidik Sedia Bersama Guru Bantah PBS 22 Feb

NormalaSudirmanDUNtenang2
KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) bersedia untuk bersama-sama guru menyatakan bantahan terhadap isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 22 Febuari ini.
Pengerusinya, Normala Sudirman juga menyeru seluruh warga guru dan pendidik agar tidak gentar untuk turun menyatakan suara bantahan demi masa depan mereka dan pelajar-pelajar.
“Seru agar guru-guru semua berpakat-pakat turun ke himpunan itu nanti sebagai menzahirkan protes mereka dengan sistem yang banyak menyusahkan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurut Normala, isu beban tugas guru, kelemahan akses internet untuk masukkan data yang telah disuarakan sebelum ini tidak dipedulikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Pelbagai usaha dan bantahan yang dibuat, namun kerajaan seolah-olah tidak menghiraukan luahan hati guru. Dan inilah masanya untuk mereka meluahkan ketidapuasan hati mereka.
Bahkan katanya, tiada gunanya dasar pendidikan negara dianggap terbaik dan bertaraf dunia sedangkan masyarakat dan warga pendidik ini sendiri tidak mengiktiraf dasar ini.
Akibatnya, kata beliau pelajar pula dijadikan eksperimen untuk program-program dan dasar yang tidak konsisten dan bercelaru ini.
Tegas Normala, apabila sistem pendidikan ini menjadi ‘cacamarba’ akhirnya telah memusnahkan nasib dan masa depan anak bangsa sendiri.
“Jangan memperjudikan harapan dan generasi masa hadapan untuk suatu dasar yang merugikan masa depan negara.
“Akhirnya ternyata KPM akan berdepan dengan amarah warga pendidik, masyarakat ,ibu bapa dan pelajar jika isu ini tidak ditangani secepat mungkin,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.
Sementara itu, Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan mengadakan demonstrasi Bantah SPPBS (PBS) 2014 pada 22 Februari nanti di hadapan pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya.