BARU-BARU ini, kecoh seketika apabila lagu ‘Penglipur Lara’ nyanyian Hazama didakwa menciplak lagu nyanyian Orchestral Manoeuvres In The Dark (OMD) iaitu ‘Enola Gay’.
Lagu tersebut hasil ciptaan Omar K dan liriknya oleh Zell.
Memetik penjelasan Hazama menerusi portal GUA, dia menganggapnya sebagai satu kebetulan sahaja.
“Saya turut dimaklumkan mengenai perkara ini, namun menganggap ianya sebagai satu kebetulan kerana dalam dunia ada tujuh kod jadi tidak mustahil untuk sesetengah lagu itu mempunyai melodi yang lebih kurang sama.
Saya tak nafikan melodinya mempunyai persamaan, tetapi jika didengar secara keseluruhan,’Penglipur Lara’ dan lagu terbabit tidak sama. Lagu ini dihasilkan melalui kajian terhadap beberapa buah lagu tempatan dendangan Datuk M.Nasir, Zainal Abidin dan Pak Pandir,” ujarnya.
Sejujurnya, penulis sendiri sudah mendengar lagu ‘Enola Gay’ tersebut dan tidak menafikan ada sedikit persamaan pada melodi awal.
Namun, untuk mengatakan lagu ‘Penglipur Lara’ hasil ciplak mungkin tidak tepat kerana persamaannya terlalu sedikit.
Iyalah, ada berjuta-juta lagu di dunia ini dan mungkin ia hanya kebetulan sahaja…