Bank Islam Malaysia yang sebelum ini mahu mengheret Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke mahkamah kerana hutang USD18 juta (RM66.67 juta) kini bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dengan amaun lebih rendah.
The Malaysian Insider difahamkan, Mahkamah Persekutuan mengadakan pendengaran sampingan di antara kedua-dua pihak semalam selepas diberitahu tentang rundingan penyelesaian yang sedang berjalan.
Kemungkinan penyelesaian itu mengejutkan ramai pihak termasuk pemimpin tertinggi PKR dan peguam Abdul Khalid.
Salah seorang peguam mengatakan beliau mendengar penyelesaian sedang berjalan.
“Saya ada dengar tentang penyelesaian ini dan sedang cuba dapatkan butiran lanjut,” katanya.
Seorang pemimpin kanan PKR mengesahkan Abdul Khalid memberitahunya perjanjian sedang berjalan untuk hutang ditanggung semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd bagi pembelian 20% saham syarikat.
Bank Islam Malaysia membawa perkara itu ke mahkamah pada 2007, setahun sebelum Abdul Khalid dinamakan sebagai menteri besar Selangor.
Bank Islam Malaysia dimiliki 100% oleh BIMB Holdings Bhd (BHB), di mana pemegang saham majoritinya merupakan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) yang menguasai 54%. Pemegang saham lain adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd dan Amanah Saham Bumiputera.
Mahkamah Rayuan memutuskan pada Mac 2010 Abdul Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengenepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu.
Pada 21 Ogos, 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bank untuk untuk mengemukakan penghakiman terus terhadap Abdul Khalid dan memerintahkannya membayar RM66.67 juta.
Tetapi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zainun Ali, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad secara sebulat suara membenarkan rayuan Abdul Khalid dengan kos.
Mereka juga mengembalikan semula kes ini ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan isu dalam kes ini memerlukan perbicaraan penuh.
Semasa mengenepikan penghakiman terus itu, Zainun berkata, mahkamah berpendapat di bawah prinsip perbankan Islam, pendapat daripada pakar undang-undang Islam mengenai peraturan Islam tentang kesahan transaksi, adalah diperlukan.
Terdapat dua saman difailkan berhubung kes itu, satu yang difailkan oleh Abdul Khalid terhadap bank dan yang kedua saman balas bank terhadap menteri besar itu.
Dalam samannya terhadap BIMB, Abdul Khalid menuntut ganti rugi dan pengisytiharan, dengan mendakwa terdapat penjualan yang salah saham-saham dalam Guthrie di bawah kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA).
Abdul Khalid, yang ketika itu ketua pegawai eksekutif Guhtrie Berhad, mendakwa wujud kontrak kolateral antara beliau dan BIMB bersampingan dengan perjanjian kemudahan Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.
Beliau mahu satu perisytiharaan kemudahan BBA itu secara berasingan dan tanpa kontrak kolateral itu adalah batal dan tidak sah dan BIMB melanggar kontrak kolateral dan atau kemudahan BBA.
Dalam saman balas terhadap Abdul Khalid, BIMB mendakwa berlaku pelanggaran perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil ekoran kegagalan beliau membayar balik pinjaman.