Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia baru-baru ini menerbitkan iklan untuk disiarkan di akhbar tempatan menawarkan pakej menu Nasi Lemak yang lebih lengkap untuk dinikmati penumpangnya.
Iklan itu dihasilkan bagi menyindir syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang dikritik hebat chef selebriti Malaysia Chef Wan dalam laman Instagramnya.
Chef Wan menggelarkan Nasi Lemak yang dihidangkan dalam Kelas Ekonomi ketika beliau menaiki pesawat MAS ke Bangkok, Thailand sebagai ‘telanjang’.
Isu itu dibincangkan dengan hangat di media sosial dengan MAS juga mengeluarkan kenyataan komited untuk memperbaiki kualiti menu makanan mereka khususnya Nasi Lemak.
Tidak mahu tewas dengan iklan Nasi Lemak Air Asia, MAS pula menerbitkan sebuah iklan akhbar menawarkan penerbangan ke pusat peranginan pantai di Maldives yang serba lengkap.
Iklan terbaru itu sebagai menyindir Air Asia yang mengumumkan penggantungan penerbangan ke Male di Maldives dengan memberikan alasan keadaan perniagaan yang mencabar.
Penggantungan laluan ke Maldives itu akan berkuatkuasa 1 Mac depan.
Sejak wujudnya Air Asia, persaingan antara dua syarikat penerbangan utama di Malaysia dapat dilihat jelas apabila Air Asia dan MAS saling ‘perang’ dalam memenangi hati pelanggan terutamanya dalam harga tiket penerbangan serta menu makanan yang ditawarkan.
Apabila kedua-dua syarikat penerbangan bersaing secara begitu sihat sebegini, orang ramai yang untung kerana banyak pilihan dan berpeluang mendapat tiket dengan harga yang rendah. – IBNU K/Mynewshub.my