KUALA LUMPUR – Operasi mencari
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10
pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal dikerah menjejaki pesawat
yang hilang itu.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)
dalam kenyataan di sini Sabtu berkata operasi itu turut membabitkan
kapal pertahanan Australia ADV Ocean Shield dan kapal hidrografi Tentera
Laut Diraja British HMS Echo yang meneruskan pencarian di bawah
permukaan air.
“Operasi pencarian hari ini meliputi
kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira
1,700km di barat laut Perth, Australia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pencarian hari
ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama dan
keadaan cuaca hari ini cerah dan hujan diramal berlaku di kawasan
pencarian.
Menurutnya, Biro Keselamatan
Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat
pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai
aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan
prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara
antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika
Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.
JACC dilancarkan pada 1 April lepas di Perth, Australia bagi menyelaraskan pencarian pesawat MAS MH370 di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370, yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada
di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Pasukan pelbagai negara pada mulanya
mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya,
selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua
koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan
hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga
selatan Lautan Hindi.
Susulan hasil analisis terhadap data
satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan
Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan
MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di
tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas
kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 “berakhir di selatan
Lautan Hindi”. – BERNAMA