KUCHING: Seorang remaja bukan saja
dipaksa meneguk minuman keras hingga mabuk, malah turut dirogol bakal
abang iparnya dalam kejadian di rumah sewa di Jalan Sultan Tengah, di
sini.
Mangsa berusia 18 tahun mendakwa
kejadian itu berlaku tiga minggu lalu, namun hanya membuat laporan polis
malam kelmarin. Menurut sumber, mangsa mendakwa, kejadian itu berlaku
apabila bakal abang ipar berusia 20-an itu turut mengugut memukul mangsa
menggunakan botol jika enggan melayan nafsu serakahnya.
“Mangsa yang kini mendirikan rumah tangga membuat laporan polis kerana bimbang suspek mengganggu kehidupannya.
“Dalam laporan dibuat pada jam 9 malam semalam (kelmarin), mangsa mendakwa kejadian itu berlaku di rumah sewa lelaki
berkenaan yang bakal menjadi suami kepada kakaknya. Mangsa tidak berani
membuat laporan polis lebih awal kerana takut diugut suspek. “Suspek
mengugut mengupah rakan untuk membelasah mangsa jika mendedahkan
perbuatan itu kepada ahli keluarga menyebabkan terpaksa merahsiakan
kejadian yang berlaku,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas tidak tahan
penderitaan ditanggung, mangsa akhirnya memberanikan diri membuat
laporan di Balai Polis Santubong.
Sementara itu, jurucakap polis ketika
dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan dilakukan
mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.