KOTA BHARU - Dua juvana dalam kes berasingan mengaku tidak bersalah di mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan merogol kekasihnya pada Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan majistret Nik Habri Muhamad selepas mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan juru bahasa mahkamah semalam.
Seorang daripada tertuduh dari Kota Bharu itu, didakwa merogol remaja berusia 15 tahun pada 29 Mac 2014 lebih kurang jam 5 pagi di sebuah rumah di Jalan Jaya Setia di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan jaminan paling rendah memandangkan bapanya kerja kampung sahaja.
Bagi kesalahan tersebut, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan kes bersambung pada 19 Mei ini.
Sementara itu, dalam kes lain, seorang tertuduh berusia 17 tahun dihadapkan di mahkamah sama kerana merogol seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Dusun Pinang Salor.
Tertuduh yang merupakan pelajar itu, didakwa melakukan perbuatan tersebut lebih kurang jam 4 pagi di sebuah rumah pada 26 Mac 2014.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan dijamin sebanyak RM 2,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan kes bersambung 8 Mei ini.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad Lapor sinar harian